10 Disember 2011, Sintok – Majlis Makan Malam Perdana sempena penutup Majlis Istiadat Konvensyen PSSCM 2011 telah diadakan dengan penuh gemilang di Dewan Muadzam Shah, UUM.  Selain bermatlamatkan mengukuhkan hubungan sesama ahli PSSCM, majlis ini berjaya menghimpunkan para alumni PSSCMUUM yang pada satu ketika dulu pernah menyumbang dan berjasa kepada perkembagan silat cekak di UUM ini.

Solawat Badriah berkumandang tatkala mengiringi ketibaan VIP iaitu Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UUM, Datuk Dr. Ahmad Faiz Hj. Abd. Hamid dan YM Guru Utama PSSCM, Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah bersama isteri.

Sewaktu menjamu selera, para hadirin dihiburkan dengan alunan Marhaban yang dipersembahkan oleh ahli-ahli PSSCM Cawangan Seberang Perai. Hadirin kemudiannya dipersembahkan dengan satu tanyangan multimedia yang telah disediakan oleh ahli-ahli PSSCMUUM. Tayangan multimedia tersebut telah menggarap sejarah penubuhan PSSCMUUM bermula seawal tahun 1988 dan turut memaparkan galeri gambar aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh mereka. Majlis turut diserikan dengan demonstrasi oleh ahli-ahli dari PSSCM Cawangan Perlis.

Yang Dipertua PSSCMUUM, Saudara Zulhilmi bin Muhammad Nasir di dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Naib Canselor, HEPA kerana sudi hadir ke majlis ini walau dalam keadaan jadual kerja yang sangat padat. Beliau mengharapkan agar pihak HEPA dapat terus menerus memberikan sokongan kepada PSSCMUUM untuk membuat program-program sebegini.

Seterusnya, selaku Pengerusi Konvensyen PSSCM 2011 Peringkat Zon Timur, Prof. Madya Ar. Dr. Hj. Majid Ismail banyak menekankan tentang silat cekak sebagai satu silat akademik di dalam ucapan beliau. Beliau turut menyentuh tentang 7 sifat kemahiran insaniah yang perlu ada pada setiap pelajar IPT dan menghubungkaitkan perkara tersebut dengan tema majlis kali ini iaitu “Budaya Mentransformasi Kecemerlangan Insaniah”


Saudara Suradi bin Abdul Rahman mewakili alumni PSSCMUUM telah merungkai sejarah sejak tahun 1988 iaitu permulaan penubuhan PSSCMUUM di Jitra sebelum ia dibawa ke kempus Sintok. Pahit getir tatkala berlaku krisis-krisis utama di dalam PSSCM berjaya diharungi dengan penuh tabah dan nekad oleh ahli-ahli pada ketika itu. Segala cabaran ditempuhi bersama dan hari ini dengan perasaan syukur, PSSCMUUM telah berjaya berdiri dengan teguh.

Y.Bhg. Datuk Dr. Ahmad Faiz Hj. Abd. Hamid, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Utara Malaysia berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan Seni Silat Cekak di UUM dan mendapati bahawa PSSCM antara persatuan mahasiswa yang aktif di UUM. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan PSSCM di UUM di atas usaha-usaha yang dijalankan. Katanya, beliau akan memudahkan segala kegiatan mahasiswa yang menjurus kepada melakukan kebaikan yang berfaedah kepada persatuan, agama, bangsa dan negara.

Datuk Dr. Ahmad faiz juga berkata, beliau amat menyokong YM Guru Utama PSSCM, Datuk Haji Maiden Kadir Shah dalam memberi penekanan kepada pembangunan akhlak khususnya dalam perkembangan sahsiah remaja. Perkataan A.P.I. katanya iaitu Akhlak, Patriotisma dan Ilmu yang perlu ditekankan oleh PSSCM ini akan melahirkan mahasiswa atau ahli PSSCM yang berjaya. Beliau berjanji akan membantu segala kegiatan Seni Silat Cekak Malaysia di UUM.

Dengan lafaz bismillah, beliau menyempurnakan perasmian penutup majlis ini. Petikan ucapan perasmian Y.Bhg. Datuk Ahmad Faiz di sini. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Warisan Mutlak.

Galleri Foto di sini …

Wartawan : Deqmah Anja
Foto : Jabatan Penerangan PSSCM