YM Ustaz Haji Ishak Bin Itam

Guru Utama & Presiden PSSCM yang ke-2

Kelahiran dan latar belakang

YM Tuan Haji Ishak bin Itam atau lebih mesra dipanggil Pak Ak telah dilahirkan pada hari Isnin, 22 Julai 1935 bersamaan 20 Rabiul Akhir di Kampung Benua, Simpang Empat Kangkong, Mukim Tebengau, Kedah Darul Aman. Bapanya bernama Itam bin Saad manakala ibunya pula bernama Fatimah binti Mat Din. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Hajah Radziyah binti Said pada tahun 1953 ketika berusia 19 tahun dan mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata yang bernama Ismail bin Ishak.

Pendidikan dan pekerjaan

Berlatarbelakangkan keluarga yang susah, beliau pernah mengambil upah menanam dan menuai padi pada sebelah petang setelah tamat sesi persekolahan. Beliau merupakan seorang murid pintar di sekolahnya. Namun, disebabkan kehidupan keluarganya yang susah, beliau hanya bersekolah setakat darjah enam sahaja. Sejak dari kecil, beliau telah menonjolkan kebolehan sebagai seorang ketua. Beliau selalu diangkat menjadi ketua dalam kumpulan rakan-rakannya meskipun ada yang lebih tua daripadanya. Beliau telah dihantar belajar di Pondok Haji Mohd Salleh Al-Masri di Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang selama tiga tahun. Kemudian, beliau ke Pondok Pokok Sena untuk berguru dan mendalami ilmu tafsir dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Haji Hussein. Tuan Haji Ishak juga berkebolehan untuk merawat penyakit seperti kencing manis dan kepatahan.

Alam persilatan

Ketika berusia sembilan tahun, beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani dengan bapa saudaranya, En. Bakar bin Din dan En. Shafie bin Din yang mewarisi ilmu persilatan ini dari Panglima Taha iaitu Pewaris Silat Gayung Fatani. Bukan itu sahaja, beliau juga pernah belajar Silat Kuntau Jawa daripada En. Hassan Jawa selama dua tahun, Silat Sendeng, Silat Minangkabau dan juga Tomoi Siam daripada En. Osman bin Ahmad. Beliau pernah menjadi guru Tomoi Siam selama dua tahun dan yakin bahawa tiada satu silat pun mampu mengalahkan Tomoi Siam. Walau bagaimanapun, beliau menukar fikiran setelah bertemu dengan Silat Cekak. Beliau telah diijazahkan oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad iaitu pengasas Silat Cekak. Tuan Haji Ishak telah berjaya menamatkan pembelajaran Silat Cekak hanya dalam masa dua bulan 10 hari iaitu sebanyak 30 kali latihan. Ketika peringkat awal perkembangan Silat Cekak, Tuan Hj. Ishak sering bersama-sama Almarhum Ustaz Haji Hanafi, merantau ke merata tempat hanya dengan berbasikal untuk memperkenalkan Silat Cekak kepada orang ramai.

Tuan Haji Ishak telah dilantik menjadi Tenaga Pengajar, sejurus selepas tamat pembelajaran Silat Cekak. Pada tahun 1971 sehingga tahun 1985, beliau telah diberi kepercayaan dan amanah untuk menjadi Yang Dipertua PSSCM Cawangan Seberang Perai. Antara kelas-kelas latihan yang pernah diajar oleh beliau adalah kelas latihan TUDM Butterworth (1977) dan membuka kelas latihan di Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1979) dan Kulim (1982).

Pingat Kurniaan

Almarhum Tuan Haji Ishak telah dianugerahkan Pingat Setia PSSCM pada Ahad, 28 Disember 1975 semasa Perayaan 10 Tahun Cekak yang diadakan di Dewan Besar Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru, Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga dianugerahkan Pingat Darjah Negeri (DJN) oleh Tun Datuk Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang pada hari Sabtu, 8 Julai 2006.

Guru Utama

Pada hari Ahad, 21 September 1986, beliau telah diisytiharkan sebagai Guru Utama dan Presiden PSSCM setelah kemangkatan Almarhum Ustaz Haji Hanafi pada tahun yang sama. Kelas pertama yang diijazahkan oleh beliau ialah pada 13 Oktober 1986 melibatkan 27 orang bertempat di Universiti Pertanian Malaysia (kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia). Beliau telah meneruskan kesinambungan perjuangan yang diasaskan oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad dengan meningkatkan perkembangan kelas-kelas latihan PSSCM di IPT seluruh negara.

Belasungkawa

Setelah 23 tahun menerajui PSSCM, pada hari Rabu, 3 Jun 2009 bersamaan 9 Jamadil Akhir 1430H, Tuan Haji Ishak bin Itam telah menyerahkan mandat Guru Utama dan Presiden kepada YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah. Kemudian, penyerahan mandat secara beradat telah disempurnakan pada hari Khamis, 23 Jun 2009 bersamaan 29 Jamadil Akhir 1430 H pada jam 1.00 pagi. Tuan Haji Ishak bin Itam telah kembali ke Rahmatullah pada hari Isnin, 12 Mac 2012 bersamaan 19 Rabiul Akhir pada jam 4.50 petang di kediamannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Punca kekalahan seseorang adalah disebabkan tidak sabar dan punca kemenangan seseorang adalah disebabkan kesabaran.”