Matapelajaran Seni Silat Cekak Malaysia

Seni Silat Cekak ialah sejenis silat yang benar-benar asli dan bertanggungjawab mempertahankan diri. Bukannya sejenis silat permainan (Silat Pulut atau Silat Pengantin), oleh itu ia tiadak mempunyai gendang, tari menari dan langkah ke kiri dan ke kanan.

Seni Silat Cekak mempunyai buah-buah pukulan yang cukup dan kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap, menjadikan ia tidak perlu ditokok-tambah dengan buah-buah silat lain samada dari dalam ataupun dari luar negeri.

Pergerakan dan sistem silat matapelajaran ini sesuai dengan gerak geri semulajadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang, dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip Agama Islam.

Pelajarannya lebih menitikberatkan dari segi pertahanan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri, barulah Cekak menyerang.

Pengamal Silat Cekak menunggu serangan dengan berdiri lurus (berdiri solat), tidak berkuda-kuda dan tidak melangkah ke kiri dan ke kanan bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu – makan gerak dalam gerak – kerana sebenarnya hakikat Silat Cekak ialah Silat Gerak.

Yang paling istimewa dan unuk sekali di dalam kaedah serangannya; di kala Cekak menyerang, jika musuh mengelak, pasti kena, dan sekiranya ditepis pula, pasti dimakannya. Keduanya pula sambil menyerang ia dapat menangkap (Cekak menyerang, Cekak menangkap). Menurut penyelidikan kami tidak ada satu silat yang sekiranya ia menyerang, ia dapat menangkap.

Penuntut-penuntut dilatih di waktu menangkis pukulan dan tikaman senjata-senjata dengan tangan kosong sahaja, tidak menggunakan sistem dua pisau (Cekak tidak berpisau, musuh berpisau) atau dua tongkat.

Matlamat Cekak ialah menangkis pukulan senjata-senjata sambil dapat merampas senjata lawan.

Dipetik dari buku Silat Cekak Dalam Suku Abad 1965-1990 – Penerbitan Khas Sempena Jubli Perak Cekak – Cetakan Kedua 2018 – ms 56-59

Kaedah Pembelajaran

Peringkat Asas

Pelajar diperkenalkan dengan 4 kaedah Silat Cekak iaitu kaedah A, B, C dan D. Kaedah A diilhamkan dari perbuatan do’a, kaedah B diilhamkan dari perbuatan qiam, kaedah C diilhamkan dari perbuatan rukuk, dan kaedah D diilhamkan dari perbuatan takbiratulihram.

Kemudian pelajar diperkenalkan dengan 21 buah-buah asas (basic) sambungan daripada kaedah A, B, C dan D; dilatih bergerak sekali tangan dan kaki.

Nama-nama 21 buah Seni Silat Cekak ialah:

  • Buah Pertama
  • Buah Keputusan Gayung Fatani
  • Buah Keputusan Sendeng Atas
  • Buah Kilas Belakang
  • Buah Kilas Hadapan
  • Buah Kidong Kiri
  • Buah Kuntau Jatuh
  • Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung
  • Buah Kuntau Kanan Gantung
  • Buah Hentak (Keputusan Silat Harimau)
  • Buah Ali Patah Atas
  • Buah Ali Patah Sudah
  • Buah Selendang
  • Buah Gari & Gari Gunting
  • Buah Paras
  • Buah Keputusan Pasung Kemanga
  • Buah Keputusan Terlak
  • Buah Keputusan Lintau
  • Buah Hempok
  • Buah Luncur
  • Buah Siku Potong

Peringkat Jatuh

Buah-buah pecahan atau buah-buah anak sambungan daripada buah-buah asas pelajaran diperkenalkan pada peringkat kedua. Dengan buah-buah pecahan inilah mampu untuk mempertahankan diri daripada segala rupa serangan.

Buah-buah asas dan pecahan-pecahan ini adalah buah-buah segala ilmu keputusan seluruh silat Melayu di dalam alam Melayu seperti Keputusan Sendeng, Keputusan Gayung Fatani, Keputusan Silat Harimau dan lain-lain seperti yang disebutkan pada bahagian awal tadi.

Peringkat Potong

Peringkat ini ialah peringkat rahsia. Pelajar didedahkan dengan pembelajaran cara untuk memotong atau menyekat kesemua 21 buah yang disebutkan di atas. Andainya pengamal Seni Silat Cekak menyerang dan musuh menggunakan salah satu buah yang tersebut, buah itu tak terdaya memakan atau menangkap Seni Silat Cekak; bahkan Seni Silat Cekak dapat memakan balik dengan salah satu buah-buah yang tersebut. Di sinilah tegaknya falsafah Seni Silat Cekak yang berbunyi: 

PAKAI TAK PAKAI, TAK PAKAI PAKAI 

Peringkat Tamat & Kemahiran

Apabila sampai pada pelajaran tamat; bererti sesama ahli Seni Silat Cekak tak terdaya melawan lagi kerana sama-sama faham pelajaran silat.

Di peringkat tamat juga, pengajaran taktik menyerang lawan supaya membunuh buah-buahnya sendiri dan juga buah silat yang lain. Uniknya dalam Seni Silat Cekak, sambil menyerang sambil menangkap. (Cekak menyerang, Cekak menangkap). Menurut penyelidikan yang dibuat tidak ada satu silat yang sekiranya ia menyerang ia dapat menangkap.

Pelajar juga diajar menangkis segala pukulan tongkat dengan tangan kosong; tidak menggunakan dua tongkat seperti yang terdapat dalam silat-silat lain yang bercorak kesukanan. Begitu juga menangkis segala tikaman dengan tangan kosong juga; tidak mengguna dua pisau.

Disamping itu, pengajaran mengguna Parang Lading buah menunggu segala rupa serangan yang menggunakan senjata pendek. Penyerangan terhadap musuh tidak dilakukan kerana Seni Silat Cekak percaya bahawa penyerangan itu lebih merbahaya kepada dirinya.

Di peringkat ini, seterusnya pelajar akan mengikuti Kelas Kemahiran untuk menduduki Ujian Sijil Rendah untuk melayakkan pelajar tersebut dianugerahkan Sijil Rendah Silat Cekak Malaysia.