YM Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah

Guru Utama & Presiden PSSCM yang ke-3

Kelahiran Dan Latar Belakang

Beliau dilahirkan pada hari Khamis, 18 Julai 1957, bersamaan 20 Zulhijjah 1378H di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Bapanya bernama Kadir Shah bin Syed Maidin, manakala ibunya bernama Julaiha Binti Mohd Ibrahim. Beliau adalah anak keenam daripada sembilan adik beradik dan telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Hajah Roznida Binti Ali Omar pada Ahad, September 1984 bersamaan 20 Zulhijjah 1404H.

Pendidikan dan Pekerjaan

Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Pasar Road, Jalan Pudu dari darjah satu sehingga darjah dua.  Kemudian beliau berpindah pula ke Sekolah Rendah Ulu Klang ketika darjah tiga sehingga darjah enam. Selepas itu, beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Menengah Lelaki Ampang (Ampang Boys School), Kuala Lumpur sehingga tingkatan tiga. Beliau mula berguru dengan Tuan Syed Harun secara formal dalam bidang Al-Quran ketika usia remaja. Kemudian pada tahun 1997, ketika berusia 40 tahun beliau telah mendalami pula ilmu Al-Quran dengan Tuan Syed Mustapha bin Syed Othman, Imam Masjid Datuk Keramat, Kuala Lumpur selama dua tahun sehingga khatam.

Datuk Haji Maideen pernah berkerja sebagai pelayan pejabat di Oxford University Press selama tiga tahun (1975-1978). Kemudian beliau berniaga secara kecil-kecilan di Pasar Pudu, Kuala Lumpur. Bermula dengan usaha tersebut, beliau telah berjaya dalam bidang perniagaan sehingga diberi penganugerahan oleh pihak kerajaan sebanyak dua kali iaitu Anugerah Harapan Majikan Prihatin (Industri Kecil dan Sederhana) bersempena Perhimpunan Hari Pekerja 2006 yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Timabalan Perdana Menteri pada 13 Mei 2006 di Stadium Bukit Jalil dan Anugerah Majikan Prihatin (Industri Kecil dan Sederhana) bersempena Perhimpunan Hari Pekerja 2007 yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada 5 Mei 2007 di Stadium Bukit Jalil.

Kini, beliau adalah Pengarah Urusan Maroz Tailoring Sdn. Bhd yang beroperasi dengan tiga cawangan di sekitar Kuala Lumpur. Hasil daripada usaha gigih beliau dalam bidang perniagaan beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Wisma Yakin, Kuala Lumpur (PPWY) semenjak taun 2003 sehingga kini.

Alam Persilatan

Sejak dari kecil lagi beliau amat meminati Seni Silat. Beliau pernah mempelajari Silat Gayong Malaysia ketika berusia 13 tahun di Sekolah Menengah Lelaki Ampang selama dua tahun. Pada tahun 1974, semasa berusia 17 tahun, beliau mempelajari Seni Silat Cekak Malaysia dengan Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad sendiri, di rumah No. 32, Jalan Haji Sirat, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Pada awal pembelajaran Silat Cekak, beliau telah tinggal bersama dengan Ustaz Haji Hanafi dan berkhidmat sebagai “khadam” beliau sambil menguruskan rumah PSSCM ketika itu di Jalan Haji Sirat, Kampung Baru. Selama dua tahun dan Jalan Putra, Kampung Baru selama lapan tahun. YM Datuk Haji Maideen juga telah berguru dengan Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad dalam bidang keagamaan secara peribadi. Selepas kemangkatan Almarhum Ustaz Haji Hanafi, beliau meneruskan perguruan dengan YM Tuan Haji Ishak bin Itam.

Pada tahun 1975, beliau telah mengambil Ujian Sijil Rendah dan dilantik sebagai Tenaga Pengajar pada tahun 1977. Pada tahun 1980, beliau mengambil Ujian Sijil Menengah, seterusnya dilantik sebagai ahli LPT dan AJK Pusat PSSCM pada tahun 1981. Beliau pernah mewakili negara dalam Kejohanan Silat Olahraga Sedunia pada tahun 1981 di Singapura dan tahun 1982 di Jakarta, Indonesia. Beliau juga pernah mewakili PSSCM di Kejohanan Silat Olahraga Kebangsaan di Kuala Lumpur, pada tahun 1984.

Pingat Kurniaan

Beliau telah dikurniakan Pingat Berjasa PSSCM pada 25 Disember 1980 dan seterusnya Pingat Setia PSSCM pada 1987. Atas jasa dan sumbangan kepada masyarakat, beliau telah dikurniakan Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M.) oleh TYT Yang Dipertua Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, pada 14 Oktober 2006 bersamaan 26 Syaaban 1427H dan Pingat Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) oleh Seri Paduka baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran ‘Datuk’, pada hari Isnin, 2 Februari 2009 bersamaan 6 Safar 1430H. Beliau juga merupakan Ahli Dewan Perguruan PESAKA mulai 29 Disember 2009.

Guru Utama

YM Datuk Haji Maideen telah berkhidmat dalam PSSCM di pelbagai peringkat selama 35 tahun sebelum diisytiharkan sebagai Guru Utama dan Presiden PSSCM. Penglibatan beliau meliputi sebagai “khadam” kepada Ustaz Hanafi, Tenaga Pengajar, Penyelia Kelas, Ahli Jawatankuasa Pusat dan Ahli Lembaga LPT. Pada tahun 1993, beliau telah diberi kepercayaan oleh ahli-ahli PSSCM untuk menjawat jawatan Naib Presiden PSSCM selama 16 tahun (1993-2009).

Sebagai Naib Presiden 1, beliau telah diberi kepercayaan oleh Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam untuk mewakili PSSCM dalam pelbagai urusan rasmi dengan pihak kerajaan dan swasta. Ketika berlakunya krisis kepimpinan PSSCM pada tahun 1993 dan 1994, beliau telah memimpin seluruh ahli PSSCM untuk sama-sama berjuang mempertahankan kepimpinan Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam sebagai Guru Utama dan Presiden yang sah ketika itu sehingga berjaya.

YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah menyerahkan jawatan Guru Utama dan Presiden kepada Datuk Haji Maideen pada hari Rabu, 3 Jun 2009 bersamaan 9 Jamadilakhir 1430 pada jam 1.00 pagi. Kelas yang pertama yang diijizahkan oleh beliau adalah di Pusat latihan Kuang pada hari Rabu, 22 Julai 2009 bersamaan 29 Rejab 1430H, melibatkan 116 orang penuntut. Datuk Haji Maideen telah diisytiharkan sebagai Guru Utama PSSCM dan Pemangku Presiden PSSCM pada hari Sabtu, 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1439H semasa Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa PSSCM yang berlangsung di Hotel De Palma, Ampang, Selangor.

Pertabalan Guru Utama PSSCM

YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah ditabalkan sebagai Guru Utama ke-3 PSSCM dalam Istiadat Pertabalan Guru Utama Persatuan Seni SIlat Cekak Malaysia yang buat julung kalinya dizahirkan pada hari Selasa, 5 November 2013 bersamaan 1 Muharam 1435H di Dewan Datuk Haji Maideen, Seremban, Negeri Sembilan.

“Belajarlah Ilmu yang berkat, bukan Ilmu yang hebat.”