YM Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad

Pengasas Agung PSSCM

Kelahiran dan Latar Belakang

Hanafi bin Haji Ahmad dilahirkan di Kampung Sungai Baru, Mukim Gunong, Alor Star, Kedah pada 1923, hasil perkongsian hidup antara Haji Ahmad dan Hajah Zainab. Beliau merupakan anak sulung daripada tujuh beradik. Beliau berkahwin dengan Puan Maimunah binti Osman pada 1947 yang berasal dari Bukit Mertajam, Seberang Prai ketika berumur 25 tahun dan dikurniakan dengan enam orang cahaya mata, lima lelaki dan seorang perempuan iaitu Zainal Abidin bin Hanafi, Mokhtaruddin bin Hanafi, Jamaluddin bin Hanafi, Mad Radzi bin Hanafi, Fauzi Bin Hanafi dan Fauziah binti Hanafi.

Pendidikan

Beliau mula mendapat pendidikan secara formal di sekolah Melayu pada 1929 dan meneruskan pembelajaran tidak formal iaitu secara pondok di sekitar negeri-negeri sebelah utara dan pembelajaran secara terus daripada ulama-ulama yang terkemuka seperti Haji Nafiah dan Haji Lah.

Ustaz Haji Hanafi merupakan seorang yang sangat cintakan ilmu dan banyak guru yang telah ditemuinya untuk mecari jawapan dalam kehidupan. Beliau pernah berguru dengan Pak Ngah Sharif dalam bidang agama, persilatan dan perubatan serta pernah bertemu dengan beberapa orang terkenal lagi alim seperti Chek Saleh bin Haji Abdul Rahman Limbong iaitu murid kepada Syed Abdul Rahman Paloh (Tokku Paloh), Terengganu, Kiai Muhammad Fadhullah Suhaimi dari Singapura, Abdullah Salleh yang terkenal dengan gelaran ‘Che Lah Keramat’ dan ramai lagi. Beliau akhirnya berjumpa dengan guru yang dicarinya selama ini iaitu Haji Md Zain di negeri Kedah ketika berumur 34 tahun.

Persilatan & Pengasas PSSCM

Ustaz Haji Hanafi mempunyai minat yang sangat tinggi dalam bidang persilatan. Beliau sedar bahawa alam persilatan pada ketika itu dipenuhi dengan amalan tahyul dan khurafat. Beliau mahu mencari satu silat yang sangat bermutu serta boleh menjaga diri penuntutnya. Beliau tahu bahawa sahabatnya Yahya Said mempunyai satu silat yang sangat bermutu tinggi dan ingin mempelajarinya. Pada malam 5 Ramadhan 1385 Hijrah bersamaan 28 Disember 1965 Silat Cekak dilahirkan semula ke alam nyata dan seramai 20 orang penuntut telah diijazahkan di rumah Shafie Darus beralamat Batu 4 3/4 Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah. Setelah tamat belajar Silat Cekak, Yahya Said menyerahkan kembali Silat Cekak seperti yang telah diamanahkan oleh Panglima Tok Rashid kepadanya.

“Jika ada anak cucuku dari Kedah hendak belajar, hendaklah kau pulangkan kembali”.

Usaha Ustaz Haji Hanafi untuk mengembangkan Silat Cekak di Kedah tidak berjaya kerana masyarakat setempat tidak dapat menerima konsep persilatan yang cuba dibawa oleh Ustaz Haji Hanafi serta menganggap bahawa Tomoi Siam lebih hebat daripada silat Melayu. Beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan Silat Cekak. Usaha beliau tidak sia-sia dan telah membuahkan hasil apabila Silat Cekak dapat diterima dengan mudah tanpa tentangan di Kuala Lumpur.

Jasa

Jasa Ustaz Haji Hanafi sangat besar pada agama, bangsa dan negara. Usaha beliau untuk membersihkan alam persilatan Melayu daripada amalan tahyul dan khurafat semakin membuahkan hasil. Beliau mahu mengembangkan Silat Cekak ke peringkat nasional. Beliau telah berjaya meletakkan Silat Cekak di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta wawasan beliau untuk menjadikan “Silat Cekak Silat Akademik” kian menjadi nyata. Kesungguhan dan kegigihan Ustaz Haji Hanafi dapat dilihat melalui kejayaan PSSCM menubuhkan Gerak Jaya pada 19 Disember 1981 serta memiliki bangunannya sendiri di Sentul pada 21 Februari 1985.

Ketokohan beliau tidak hanya terbatas dalam PSSCM sahaja, beliau telah terlibat secara langsung dalam penubuhan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA). Beliau juga terlibat dalam menubuhkan Persatuan Seni Silat Antarabangsa yang menggabungkan tiga buah negara di rantau ini iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia.

Belasungkawa

Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 13 Ogos 1986, Pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar kepada PSSCM. Namun, berkat semangat dan kefahaman agama yang ditanam oleh beliau kepada ahli-ahli, Silat Cekak masih dapat terus hidup dan berkembang dengan pesat sekali.

“Sebaik baik manusia ialah orang yang boleh menyesuaikan dirinya dengan orang orang yang rosak akhlaknya sehingga dapat memperbaharui akhlak orang itu hingga menjadi baik”