Senjata Rasmi Seni Silat Cekak Malaysia

Sepatah Kata daripada Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad selaku Pengasas Seni Silat Cekak (Suara Cekak Bil. 1 1975)

Parang Lading merupakan senjata rasmi Silat Cekak. Ia dipercayai menjadi senjata penting khasnya kepada Panglima Kanan Kedah pada zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II (1854-1879) untuk mempertahankan diri daripada pelbagai jenis serangan senjata tajam. Senjata ini merupakan bukti yang jelas bahawa Silat Cekak berasal daripada negeri Kedah.

Parang ini mempunyai ukuran khas berdasarkan ukuran anggota tuan si pemakai. Parang Lading berdasarkan ukuran yang berikut; 

– Jarak panjang dari pangkal hingga ke hujung, berdasarkan ukuran dari lubang telinga kiri ke mata kanan, atau dari lubang telinga kanan ke mata kiri.

Ertinya: Tiap-tiap yang terlihat dan terdengar maka sampailah senjata itu.

– Matanya yang tajam sekadar jarak dua mata si pemakai

– Lebar hujung sebelah belakang, selebar perdu kuku jari kelingking

– Tebal pangkal sebelah atas, selebar perdu ibu jari.

– Hulu parang lading selebar tapak kijang.

Seratus Peratus

Senjata parang lading adalah senjata untuk mempertahankan diri seratus peratus. Tiada satu kaedah pun di dalam menggunakannya ada kaedah untuk menyerang. Ini merupakan satu lagi bukti betapa sesuainya silat Cekak ini untuk mempertahankan diri, bukan untuk menceroboh yang bersesuaian dengan pakaian panglima-panglima. 

Ada Perbezaan

Satu hal yang mesti dijelaskan ialah bahawa terdapat perbezaan yang nyata di antara lading biasa yang digunakan sehari-hari dengan parang lading senjata rasmi silat Cekak. Cara membuat dan kadar ukuran di antara keduanya adalah perbezaan yang mustahak sekali diterangkan. 

Parang lading biasa itu cuma berbentuk rupa parang lading sahaja, dibuat tidak dengan ukuran tertentu, berkemungkinan besar tidak ada lagi pakarnya. Sebenarnya, ukuran sebenar parang lading yang tepat dan sesuai dengan mempertahankan diri hanya terdapat didalam pengetahuan silat Cekak sahaja. Ukuran khas yang dimaksudkan adalah ukuran parang lading yang dibuat mengikut ukuran anggota tuan sipemakainya. Oleh itu, orang lain tidak boleh menggunakan parang lading yang ditempa khas untuk seseorang yang tertentu. 

Peringatan 

Parang lading ini bukanlah boleh digunakan untuk menyerang. Tetapi hanya buat menunggu serangan dari segala jenis serangan kecuali senjata api. 

Memandangkan kepada keistimewaan parang lading sebagai satu pusaka Melayu yang begitu asli dan bererti, maka persatuan kita telah cuba mengenengahkannya kepada umum serta disimpan sebagai satu bahan sejarah.