20 April 2011, Melaka – Ketua Penerangan PSSCM En. Rosman Bin Mat Deli mewakili PSSCM  telah menghadiahkan dua naskah Buku Budaya Cekak, VCD Dokumentari Metodologi Silat Cekak dan Dokumentari Silat Cekak. Kehadiran beliau telah disambut oleh Pn. Linda Phua Sue Lin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya.

Pusat Sumber Belia Melaka (PSBM) ini berperanan mengumpul segala maklumat yang berkaitan dengan belia dalam bentuk bahan bercetak mahupun bahan bukan bercetak. Pelbagai koleksi maklumat yang boleh diperolehi di Pusat Sumber Belia Melaka (PSBM) ini iaitu koleksi rak terbuka, koleksi rujukan, koleksi terbitan bersiri dan juga koleksi bahan penerbitan elektronik.

Pusat Sumber Belia Melaka terletak di Kompleks Yayasan Belia Sedunia (WAY), Lebuh Ayer Keroh dan menjadi tumpuan belia-belia negeri Melaka di mana terdapat pejabat Pertubuhan-pertubuhan Belia Negeri Melaka dan Pertubuhan Belia Antarabangsa yang diketuai oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka. Pusat tersebut dilengkapi bilik seminar yang dilengkapi projektor, bilik mesyuarat dan bilik bacaan. Terdapat lebih dari 15,000 ribu naskah buku di pusat sumber tersebut.

Menurut Puan Linda Phua Sue Lin, Buku Budaya Cekak adalah satu-satunya buku rujukan yang dihadiahkan oleh persatuan silat. Beliau amat berbesar hati menerima hadiah tersebut dan VCD Silat Cekak akan ditayangkan di dalam bilik seminar sepanjang masa. Secara tidak langsung Pusat Sumber Belia Melaka akan mempromosikan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

YM Guru Utama dan Presiden PSSCM, Datuk Hj. Maideen Bin Kadir Shah menyambut baik usaha Jabatan Penerangan PSSCM memperkenalkan Silat Cekak dalam berbagai kaedah. Ini akan dapat membantu masyarakat memahami budaya Cekak dan rupa bentuk silat kita.