23/9/2016 @ PWTC
Berita Pagi TV1 24/9/2016 @ 7.00 pagi
___

Raja Permaisuri Hadir Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Wanita Islam Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) — Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah malam ini berkenan berangkat pada majlis Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak Wanita Islam Antarabangsa (WISE) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong berkenan menyampaikan enam anugerah IIUM Women Peacebuilding Award (Al Tamayouz) kepada tiga tokoh wanita dan tiga organisasi bagi menghargai pencapaian mereka dalam sumbangan terhadap kerja-kerja keamanan dan berkaitan wanita.

Penerima anugerah itu ialah Pengerusi Global Peace Festival Malaysia Tan Sri Zaleha Ismail yang menerima Lifetime Outstanding Achievement Award, manakala dua Outstanding Achievement Woman Award diberikan kepada personaliti media berpengaruh di negara Muslim, Muna AbuSulayman dan Penasihat Pejabat Presiden Turki, Tuba Nur Somnez.

Pada kategori organisasi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengerusi Yayasan Pahang menerima Outstanding Achievement Award in Talent Development yang diwakili Rektor UIAM, Datuk Seri Zaleha Kamarudin.

Turut menerima anugerah ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Izelan Basar bagi Promising Media Award manakala Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Kebangsaan, Datuk Maideen Kadir Shah menerima Outstanding Achievement Award in Empowering Women.

WISE berlangsung selama tiga hari bermula hari ini disertai 130 delagasi termasuk dari Turki, Arab Saudi, Thailand dan Brunei.

Ia dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan World Islamic Forum.

— BERNAMA