27 Feb 2010, UIAM Gombak – Program PLBC ke-10: Merealisasikan tema “Bersama & Bersatu” anjuran bersama PSSCM UIAM Gombak dan Jabatan Penerangan PSSCM. Seramai lebih daripada 300 orang ahli-ahli IPT dan Kelas-kelas di Lembah Klang telah menjayakan program tersebut termasuk Ahli-ahli Jawatan Kuasa Pusat, Ahli LPT, dan Penyelia-penyelia Kelas.

Program ini sebagai persiapan bagi menjayakan Demonstrasi Perdana yang akan mengumpulkan seramai 2,500 orang dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Bin Tun Abdul Razak.

Program PLBC ke-10, dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli oleh ucapan dari YDP PSSCM UIAM YBhg. En. Rasyid Bin Aziz. Ucapan dari Setiausaha Agung PSSCM, YBhg. En. Roslin Bin Ali Omar yang penuh dengan informasi dan kata-kata perangsang telah menyemarakkan lagi semangat ahli-ahli PSSCM dalam menjayakan Program PLBC kali ke-10 ini.

Ucapan Perasmian oleh YBhg. En. Sharel Bin Dzahari, Pegawai Pusat Sukan dan Rekreasi UIAM. Dalam ucapannya, beliau telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada PSSCM kerana memilih UIAM Gombak sebagai tuan rumah dan beliau akan memberi sokongan sepenuhnya penganjuran program sebegini pada masa akan datang.

Program PLBC kali ke-10 ini dibahagikan kepada 4 sesi:

    1. Program Perasmian
    2. Latihan Demonstrasi
    3. Brainstorming Session
    4. Majlis Penutup

Semasa latihan demonstrasi sesi yang ke-2, kelas-kelas latihan telah dipertanggungjawabkan membuat persembahan iaitu Latihan kaedah dan buah jatuh, Umum Tangan Kosong, 4 serang 1, Umum Senjata, Papan Sekeping dan Adegan Lading.

Semasa sesi ke-3 iaitu acara Brainstorming Session, YBhg. En. Rosman Bin Mat Deli, Ketua Penerangan PSSCM telah bertugas sebagai Fasilitator bagi memberi tunjuk ajar dan komen kepada setiap pasukan demonstrasi selepas mereka mengadakan persembahan. Beliau turut menjelaskan panduan, adab dan etika berdemonstrasi agar ahli-ahli PSSCM membuat persembahan berdasarkan Modul Demonstrasi yang dikeluarkan oleh JP PSSCM.

Pada jam 1.30 petang semasa Majlis Perasmian Penutup, Saudara Shahrin Fikri Bin Witrofoledy, Pengarah Program PLBC Ke-10 dalam ucapannya, beliau merakamkan berbanyak terima kasih kepada semua yang terlibat khasnya kepada AJK Pusat dan Ahli LPT atas kesudian hadir bersama bagi menjayakan program ini.

Ucapan Perasmian Penutup disempurnakan oleh Ketua Penerangan PSSCM YBhg. En. Rosman Bin Mat Deli. Beliau berharap, melalui program ini dapat menyemaikan semangat Gagasan Bersama & Bersatu dalam kepimpinan yang diterajui YM Guru Utama & Presiden Datuk Hj. Maideen Bin Kadir Shah. Beliau juga mengingatkan kepada peserta agar sentiasa berdisiplin, dan menjaga adab tata susila orang Melayu.