Bismillahirrahmanirrahim,

Terlebih dahulu marilah sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan kehendak dan izinNya, dengan kurnia Allah swt, dengan syafaat kekasihNya junjungan besar nabi Muhammad saw, dengan berkat guru-guru kita, dengan keramah & hikmah kedua ibu & bapa kita, dapatlah kita pada hari ini, sudahlah sampai masanya, yang mana Allah masih memberikan peluang kepada kita, supaya dapat menyambut bulan Ramadhan yang merupakan bulan yang sangat banyak barakah dan hikmahnya. Allah telah menurunkan banyak perkara-perkara yang berlaku di dunia ini kebanyakkannya berlaku pada bulan Ramadhan dan saya pasti dan saya yakin bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan mempunyai banyak keberkatan.

Guru-guru kita telah mendidik dan mengasuh kita supaya kita menjadi manusia dengan menghambakan diri kepada Allah dan berbuat baik sesama manusia, maka kehadiran bulan Ramadhan ini adalah merupakan bulan yang dapat kita melatih diri kita dapat melawan hawa nafsu kita daripada segala apa yang telah Allah kurniakan kepada kita. Yang mana bulan puasa adalah bulan melatih diri kita supaya dapat kita melawan daripada hawa nafsu.
Allah telah berikan kepada kita berbagai-bagai harta, berbagai-berbagai pangkat dan segala-galanya tetapi pada bula puasa maka adalah bulan yang mana Allah melarang kita daripada perkara-perkara yang ditegah dalam bulan Ramadhan. Yang pertamanya kita terpaksa menahan daripada lapar, walaupun duit kita banyak, harta kita banyak, wang kita banyak, tetapi pada siang bulan Ramadhan, daripada terbit fajar sampailah ke tenggelam matahari kita tidak dibenarkan untuk makan dan minum, supaya kita dapat melawan nafsu kita daripada keinginan-keinginan walaupun milik itu telah diberikan ke atas kita tetapi Allah telah menetapkan bahawa kita perlu diasuh dan melatih diri kita supaya kita dapat menahan diri kita daripada perkara-perkara yang boleh membawa daripada kemungkaran dan kerosakan hidup kita di dunia supaya kita mendapat manfaat dan mendapat kebaikan dunia dan juga kebaikan akhirat.

Maka saya memohon kepada seluruh ahli-ahli Silat Cekak Malaysia supaya menggunakan kesempatan bulan Ramadhan ini supaya banyakkanlah kita beribadah, banyakkanlah kita melakukan perkara-perkara kebaikan, maka dengan ibadah dan kebaikan itu Allah akan mengurniakan banyak kelebihan. Jadi kita mengambil hikmah, yang mana Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad telah melahirkan semula ke alam nyata Silat Cekak Malaysia ini iaitu pada 5 Ramadhan 1385H. Kelahiran Silat Cekak tentulah mempunyai banyak hikmah yang ingin disampaikan kepada kita kerana bulan Ramadhan itu adalah bulan yang telah Allah turunkan Al-Quran dan Allah telah jadikan bulan Ramadhan bulan kita melawan hawa nafsu dan bulan Ramadhan juga bulan yang telah Allah turunkan Lailatul Qadar yang mana memberikan keuntungan yang sangat banyak kepada kehidupan kita sekiranya kita mendapat kurnia daripada Allah.

Maka saya pasti dan saya yakin kelahiran Silat Cekak dan apa yang telah diasuh oleh guru-guru kita Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad, Tuan Haji Ishak Bin Itam, mengajar dan mendidik kita supaya kita dapat menjadikan Al-Quram dan hadis sebagai panduan dalam menjalankan kehidupan ini supaya kita menjadi manusia yang beribadah kepada Allah, menghambakan diri kepada Allah dan berbuat baik sesama manusia.

Sekiranya kita mempunyai harta yang lebih, atau masa yang lebih, maka kita berkorban, bersedekah dan juga kita memberi segala apa yang kita mampu untuk memberikan kemerdekaan dan memberikan kebaikan kepada orang-orang yang memerlukan.

Jadi kepada seluruh ahli-ahli SIlat Cekak, ambillah bulan Ramadhan ini, walaupun kita bersilat dalam bulan Ramadhan, tapi yangan lupa tanggungjawab dan amanah kita kepada Allah iaitu bulan Ramadhan yang mempunyai banyak hikmah. Maka saya juga menyeru kepada seluruh ahli-ahli Silat Cekak, kepada seluruh muslimin dan muslimat Selamat menjalankan Ibadah Puasa pada bulan Ramadhan pada tahun ini.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah. Assalamualaikum w.b.t.