YM Guru Utama & Presiden PSSCM, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua ahli-ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan seluruh umat Islam. Semoga Ramadhan kali ini memberikan keberkatan dan rahmat buat kita semua.

Hari ini, tanggal 5 Ramadhan 1439 hijrah bersamaan 21 Mei 2018, merupakan hari yang penuh bersejarah buat semua warga Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

53 tahun yang lalu, pada 28 Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385 hijrah, Silat Cekak buat pertama kalinya telah dizahirkan kembali ke alam nyata atas usaha dan iltizam oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Pengasas Agung Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t, semenjak dari tarikh tersebut, Silat Cekak telah berkembang di seluruh negara dengan pesat sehingga ke hari ini, atas nama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

PSSCM telah melalui pelbagai dugaan dan halangan di dalam usaha untuk mengembangkan Seni Silat Cekak. 

Segala yang berlaku telah mematangkan kita untuk sama-sama memelihara dan meneruskan perjuangan Seni Silat Cekak Malaysia ini.

Alhamdulillah dengan kehendak dan izin Allah s.w.t, dengan syafaat Rasulullah s.a.w, dengan berkat guru-guru, PSSCM terus utuh sehingga hari ini, dan telah melalui proses peralihan kepimpinan yang cukup jelas.

Bermula dengan Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, yang telah memimpin perjuangan ini selama 21 tahun sebagai Guru Utama dan Presiden.

Setelah beliau kembali ke rahmatullah pada 13 Ogos 1986, maka kepimpinan Silat Cekak Malaysia diteruskan oleh Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam selaku Guru Utama & Presiden yang ke-2. Beliau telah memimpin Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia selama 23 tahun.

Semasa era kepimpinan  beliau menerajui PSSCM, telah berlaku suatu krisis yang sangat besar di dalam persatuan, yang mana ia turut memberikan tamparan hebat kepada perkembangan budaya bangsa Melayu pada ketika itu, iaitu krisis silat cekak 1993.  

Namun, atas didikan Almarhum Ustaz Haji Hanafi, krisis ini telah berjaya ditangani dengan cukup profesional, sehingga kes ini telah dibawa ke mahkamah tinggi pada tahun 1994 bagi menentukan pihak manakah yang berhak meneruskan perjuangan PSSCM ini.

Dengan kehendak dan izin Allah s.w.t., keputusan mahkamah telah berpihak kepada kepimpinan Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam untuk meneruskan perjuangan PSSCM sebagai Guru Utama & Presiden.

Sehinggalah pada tahun 2009, beliau telah menyerahkan mandat kepimpinan ini kepada saya, selaku guru utama yang ketiga, untuk meneruskan perjuangan PSSCM.

Kini, hampir 9 tahun saya menerajui Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia bersama barisan kepimpinan serta dengan sokongan ahli-ahli PSSCM di seluruh negara.

PSSCM telah cukup matang.

PSSCM semakin berkembang pesat.

Sebelum mengakhiri perutusan ini, maka saya selaku Guru Utama dan Presiden, ingin menyeru kepada semua ahli-ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, marilah kita bersama dan bersatu memelihara dan meneruskan perjuangan ini, sepertimana yang telah diasaskan oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Hj Ahmad.

 

Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah
Guru Utama & Presiden 
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia

Tarikh : 5 Ramadhan 1439H / 21 Mei 2018