19 Februari 2011, Pulau Pinang – PSSCM UiTM Pulau Pinang dengan kerjasama PSSCM Cawangan Seberang Perai telah menganjurkan Pertandingan Barzanji, Marhaban dan Qasidah Burdah Peringkat Kebangsaan pada 18 Februari 2011 dan 19 Februari 2011 bertempat di Laman Perdana UiTM Pulau Pinang. Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Ustaz Sofwan Bin Hasbullah, Koordinator Pusat Pemikiran Dan Kefahaman Islam, UiTMPP.

Pertandingan yang julung kali diadakan ini bermatlamat untuk memupuk rasa cinta kepada Rasulullah dengan memuji Baginda. Seramai 13 kumpulan daripada PSSCM Institut-Institut Pengajian Tinggi Zon Utara dan PSSCM Cawangan Negeri telah menyertai pertandingan. Semua kumpulan yang bertanding telah diberikan tiga rawi berzanji untuk latihan dan pada hari pertandingan telah diadakan cabutan undi untuk menentukan rawi berzanji yang perlu dialunkan. Setiap kumpulan juga perlu mengalunkan marhaban dan qasidah burdah pilihan sendiri.

Para juri yang terdiri daripada Tuan Haji Ghazali Bin Abd. Rahman, Puan Ilham Binti Ebau, Prof. Madya Dr. Haji Ab majid Bin Ismail dan Encik Zafri Bin Mohd Miar telah memberikan markah berdasarkan kepada kefasihan, lagu, suara dan persembahan.

Pertandingan ini telah menyaksikan kumpulan daripada Universiti Utara Malaysia telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan manakala PSSCM Cawangan Seberang Perai sebagai naib juara dan PSSCM Cawangan Pulau Pinang di tempat ketiga.