28 Mei 2011, Seremban – Majlis Penganugerahan senjata rasmi Silat Cekak telah dilaksanakan dengan penuh istiadat di Ibu Pejabat  PSSCM Negeri Sembilan. Istiadat tersebut diserikan dengan Tradisi Melayu yang julung-julung kali diadakan. Seramai 76 orang telah menerima Parang Lading.

Antara penerima Parang Lading terdiri daripada Ahli LPT, Ahli Jawatan Kuasa Pusat PSSCM, Ketua Cawangan Negeri dan Tenaga Pengajar yang telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun. YM Guru Utama telah berkenan menganugerahkan senjata rasmi Silat Cekak berdasarkan kriteria tersebut.

Majlis Penurunan Langkah dan Latihan Parang Lading diadakan selepas selesai sesi diatas. Guru Utama telah berkenan menunjukkan cara-cara penggunaan Parang Lading dan memberi nasihat serta petua. Penyampaian Sijil dan Sarung Parang Lading turut disempurnakan kepada penerima-penerima tersebut.

Kejayaan majlis tersebut akan menjadi suatu lipatan sejarah PSSCM yang cukup menarik dan pastinya dilihat akan menjadi budaya dan pemangkin kepada cetusan-cetusan program bersejarah yang lebih meluas pada masa-masa akan datang.

Sekalung tahniah dan syabas juga turut diberikan kepada petugas-petugas dan pemerhati-pemerhati  daripada seluruh negara yang berjumlah 55 orang yang turut hadir dalam menjayakan program tersebut.

Galeri Foto klik sini …

(Sumber dari Jabatan Penerangan PSSCM)