2 November 2011, Kuala Lumpur – Universiti Teknologi Malaysia(UTM) Kampus Bandar Kuala Lumpur telah menghimpunkan seramai lebih 600 orang ahli di Majlis Nostalgia Pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di sini. Pendaftaran dimulakan seawal jam 5.30 petang yang dihadiri oleh ahli-ahli dari kelas-kelas latihan Ibu Pejabat, IPTA/S di sekitar lembah kelang serta ahli-ahli PSSCM cawangan Selangor.

Galleri Foto Di Sini …

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib secara  berjemaah di Dewan Besar UTM bersama-sama YM Guru Utama , Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah dan diimamkan oleh Ustaz Khaharuddin Bin Abdul Rahman. Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan Yassin dan Tahlil khususnya kepada Al-Marhum Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad Pengasas PSSCM. Al-Marhum Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad  telah kembali ke Rahmatullah pada tarikh 7 Zulhijjah 1406H bersamaan 13 Ogos 1986 dan malam nostalgia ini, dikhususkan kepada beliau tanda terima kasih ahli-ahli PSSCM  atas pengorbanan beliau dalam menzahirkan PSSCM ini ke alam nyata.

Kemudian majlis direruskan dengan pembentangan kertas kerja oleh Naib Presiden 2, PSSCM, Prof. Madya Dr. Hj. Abd Majid Ismail yang bertajuk “Kepimpinan Al-Marhum Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad” yang disampaikan dengan penuh ilmiah. Beliau menceritakan kenangan-kenangan beliau bersama-sama Almarhum Ustaz hanafi diawal PSSCM bertapak di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Menurut pangalaman beliau, sifat kepimpinan Al-Marhum Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad dapat beliau simpulkan kepada beberapa aspek iaitu :-
i) Penekanan Kualiti
ii) Silat Cekak sebagai  Silat Akademik
iii) Konsep menepati masa; dan
iv) Tidak mengambil sesuatu yang bukan hak kita.

Sebelum bersurai, YM Guru Utama , Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah telah memberikan ucapan dan perasmian penutup, di mana beliau berterima kasih kepada Pengerusi Program Tn Haji Mohd Fizol Bin Mohd Saad kerana menganjurkan Majlis Nostalgia Pengasas PSSCM ini. Majlis ini berbeza dengan majlis-majlis sebelum ini dan transformasi ini sesuai dengan tema Majlis Konvokesyen PSSCM yang lalu iaitu “Budaya Mentransformasi Kecemerlangan Insaniah”.

Melalui pembentangan Kertas kerja oleh Naib presiden 2 ini, sedikit sebanyak ahli-ahli dapat melihat ciri-ciri kepemimpinan Al-Marhum Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad dalam mendidik ahli-ahli menjadi Bangsa Melayu yang mempunyai jati diri dan tidak mudah terpengaruh dengan gelaja negatif masa kini. Pesan Al-Marhum, “Jadilah seperti ikan, Ikan di dalam lautan tidak menjadi masin..perlu digaramkan apabila di masak”.

Ahli-ahli dapat mengimbas kembali perjalanan Al-Marhum Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad, dalam usaha menzahirkan Silat Cekak ini bukan suatu yang mudah. Oleh itu setiap ahli hendaklah membantu Silat Cekak ini agar menjadi lebih berkembang di masa akan datang. Benih yang ditanam oleh Al-Marhum Ustaz Hanafi dahulu kini telah menjadi buah, kini ahli-ahli semua telah menikmati buah tersebut dan seterusnya diharap dapat membenihkan kembali buah itu untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Warisan Mutlak dan bersurai.

Galleri Foto Di Sini …

Oleh : S.Shahrulnizam Sheikh Ismail