23 April 2010, Bukit Beruntung – Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden PESAKA telah diadakan bertempat di PSSCM Cawangan Selangor, Bukit Beruntung di sini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Muhammad Ali Bin Rustam, Presiden PESAKA merangkap Ketua Menteri Melaka . Seramai lebih 350 orang ahli Silat Cekak dari pusat dan kelas latihan Silat Cekak yang terdiri dari Kelas Latihan Ulu Yam, Bukit Beruntung, Rawang, Kuang, Serdang, Cheras, Selayang, Melaka termasuk ahli-ahli Silat Lincah Malaysia serta masyarakat setempat hadir dalam program tersebut. Turut hadir menyerikan majlis, Pengasas PSSLM Mahaguru Datuk Hj. Omar Din Bin Maujud, YBhg Hj. Megat Dzulkarnaian Bin Datuk Hj. Omar Din, Setiausaha Agung PESAKA, Naib Presiden PESAKA merangkap Ketua Penerangan PSSCM En. Rosman Bin Mat Deli, Exco PESAKA merangkap YDP PSCCM Cawangan Melaka En. Sham Bin Ghani, YDP PSSCM Selangor En. Zainol Bin Sharifudin dan Ketua Pusat Latihan PSSCM Bukit Beruntung En. Suhaimi Bin Yunan.

Program Ramah Mesra ini adalah kunjungan hormat Dato’ Seri yang julung-julung sekali diadakan selepas beliau dilantik sebagai Presiden PESAKA pada 29 Disember 2009 yang lalu. Di dalam kesibukan kempen  suasana Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor P094 pada 25 April 2010, YAB Dato’ Seri sudi singgah merasmikan majlis tersebut. Tepat pada jam 10.45 malam, YAB Dato’ Seri telah tiba di perkarangan Pusat Latihan Bukit Beruntung dan disambut dengan paluan kompang dan persembahan Silat Seni oleh pesilat Lincah.

Sebelum ucapan alu-aluan oleh YAB Dato’ Seri, persembahan Seni Silat dari Silat Cekak dan Silat Lincah turut dipertontonkan. Ucap tama oleh Ketua Penerangan PSSCM diikuti oleh Setiausaha Agung PESAKA.

Semasa berucapan merasmikan majlis ramah mesra ini, YAB Dato’ Seri menyeru orang Melayu khasnya warga silat bersatu memartabatkan ketuanan bangsa Melayu. Di dalam ucapannya juga, beliau telah menyentuh pelbagai isu semasa dan turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri Melaka telah bersetuju membangunkan sebuah kompleks silat sedunia di negeri tersebut sebagai mercu tanda keagungan pahlawan Melayu bertepatan dengan negeri Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah dan Bandaraya Warisan Dunia. Beliau sempat menjamu selera bersama-sama tetamu yang hadir. Majlis bersurai pada jam 1.00 pagi.