2 Oktober 2011, Hulu Langat – Seramai 90 orang ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia kelas  Ibu Pejabat telah berkumpul buat julung kalinya di Kem Rimba Ria, Sungai Congkak, Hulu Langat Selangor. Kelas-kelas Ibu Pejabat terdiri daripada kelas latihan Jalan Kent, Lembah Keramat, Sungai Besi dan Putrajaya.  Semua peserta mendaftarkan diri pada petang Sabtu dan semua bersama-sama menyediakan Jamuan B.B.Q. untuk program makan malam.
Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi Persilatan PSSCM, En Safaran Bin Ahmad merangkap Ketua Pengurusan Kelas-kelas Ibu Pejabat dan seterusnya beliau bersama-sama En Mohd Hafiz Bin Jamil, Setiausaha Agong PSSCM dan Tuan Haji Mohd Fizul Bin Mohd Saad, Pengerusi Biro Pembangunan Insan diminta untuk berinteraksi dengan peserta-peserta program hadir. Pelbagai soalan dikemukakan oleh peserta dan dijawab oleh mereka serta berkongsi pengalaman mereka sehingga program terpaksa ditangguhkan lewat sehingga jam 2 pagi.

Kehangatan Program interaksi ini disambung pula dengan Forum pada hari kedua yang disertai oleh En Roslin Bin Ali Omar, Naib Presiden 1 PSSCM , Ustaz Kaharudin Bin Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agong dan sekali lagi bersama  Pengerusi Persilatan PSSCM, En Safaran Bin Ahmad. En. Faizal Bin Mohd Yuso Yusof sebagai moderator telah berjaya membawa peserta memahami forum yang bertajuk “Menjadi ahli yang bertanggungjawab kepada Persatuan, Persilatan dan Perguruan (3P) “. Antara yang menarik pada forum tersebut Naib Presiden menyatakan setiap ahli yang bertanggungjawab kepada persatuan hendaklah mengamalkan konsep “5 BER” iaitu BERpersatuan, BERsilat, BERguru, BERsama dan BERsatu.
Setelah itu, program diteruskan dengan permainan ala explorace yang menguji minda serta kerjasama ahli-ahli yang dibahagikan kepada  beberapa kumpulan.Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh  Naib Presiden 1 PSSCM dan beliau bergembira dengan perjalanan aktiviti pada hari tersebut dan berharap agar Program interaksi ini menjadi satu pemulaan penyatuan antara kelas-kelas latihan di Ibu Pejabat dan seterusnya mempraktikkan konsep BERSAMA DAN BERSATU.
Wartawan : S.Shahrulnizam Sheikh Ismail