24 Januari 2013, Seremban – Seramai lebih 2500 orang ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) telah berkumpul di Negeri Sembilan sempena Himpunan Siap Siaga PSSCM serta Majlis Perasmian Dewan Datuk Haji Maideen bertempat di Taman Bukti Setia di sini.

Suatu sejarah telah tercipta pada sesi petangnya bersempena Himpunan Siap Siaga PSSCM apabila Dewan Datuk Haji Maideen telah dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Ketibaan YB Dato’ Seri Utama bersama dif-dif jemputan jam 3 petang disambut oleh YM Guru Utama Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah bersama semua Ahli Jawatankuasa Pusat serta ahli-ahli PSSCM yang berbaris di sepanjang laluan menuju ke dewan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Y.Bhg. Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, YM Presiden dan Guru Utama PSSCM, Datuk Haji Maideen Kadir Shah serta isteri dan barisan kepimpinan tertinggi PSSCM.

Kehadiran YB  Dato’ Dr. Rais  Yatim ini telah disambut baik seramai 2500 orang ahli PSSCM yang hadir dari seluruh Negara. Himpunan ini juga turut mendapat liputan media cetak dan elektronik khususnya RTM dan TV3.

Dalam ucaptama Presiden merangkap Guru Utama PSSCM, YM Datuk Haji Maideen merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada YB Menteri di atas kesudian merasmikan majlis tersebut di samping memohon bantuan kerajaan khususnya dalam menjayakan Pelan Pembangunan PSSCM. Beliau juga turut menyatakan sokongan padu ahli-ahli PSSCM terhadap kepimpinan Negara yang sedia ada dan kesanggupan berkhidmat menabur bakti demi agama, bangsa dan Negara.  YM Guru Utama juga turut merungkaikan sejarah perjalanan Silat Cekak, bermula dari Almarhum Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad, Almarhum Tuan Haji Ishak Bin Itam sehinggalah kepimpinan beliau.

Program Himpunan Siap Siaga ini sebenarya adalah ilham dari YB Dato’ Seri Utama sendiri, dan seluruh ahli yang berkumpul hari ini terdiri daripada intelektual Melayu dari seluruh negara. Mereka semua ini adalah bakal pewaris bangsa dan negara di mana Silat Cekak telah mendidik ahli-ahlinya menjadi seorang yang beramanah, bertanggungjawab, menepati janji dan tidak bercakap bohong.

Dalam ucapan perasmian oleh YB Dr. Rais Yatim, beliau juga menyambut baik usaha-usaha yang dilakukan PSSCM dengan mengumumkan peruntukkan bernilai RM500,000 kepada PSSCM untuk membina bangunan asrama tiga tingkat bersebelahan Dewan Datuk Haji Maideen di samping sumbangan pentadbiran sebanyak RM30,000.

YB menteri juga berkenan menyampaikan sebanyak 15 unit komputer riba kepada Ketua-ketua  Cawangan Negeri PSSCM. Semangat kebangsaan yang begitu tinggi dipamerkan oleh YB Menteri apabila beliau menggesa penggiat silat khususnya para pelajar IPT untuk menjalankan penyelidikan akademik dan menerbitkan buku sejarah perkembangan dan budaya silat. Katanya, penghasilan karya-karya ilmiah mampu memberi peluang kepada generasi akan datang untuk mengenali dan menghayati sejarah dan warisan bangsa Melayu.

Sesungguhnya kejayaan PSSCM mengadakan majlis seperti ini merupakan sebuah anjakkan paradigma keilmuan khususnya dalam bidang Seni Silat Melayu di tanahair ini. Tahniah dan syabas diucapakan kepada PSSCM dalam mengorak langkah memartabatkan Seni Pusaka Bangsa.