16 Julai 2011, Hulu Selangor – Lebih 1000 orang pesilat Seni Silat Cekak Malaysia telah menjayakan majlis Demonstrasi Perdana Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia sempena Pelancaran Sambutan Perayaan Jubli Perak 25 Tahun PSSCM Cawangan Selangor yang diadakan di padang SMK Syed Mashor, Batang Kali di sini.

Galleri Foto di sini …

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Mohamad Shafie Bin Haji Asnawi, Setiausaha Politik dan wakil kepada YB Datuk Seri Noh Bin Haji Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Dalam ucapannya, Dato’ Shafie menyampaikan salam dari YB Menteri dan memaklumkan bahawa YB Menteri telah bersetuju menyumbangkan sebanyak RM10,000.00 kepada PSSCM. Beliau juga menekankan bahawa silat sebagai benteng utama ketahanan umat Melayu untuk mempertahankan tanahair tercinta. Ini bermakna silat berjuang untuk untuk keamanan, maka silat berjuang untuk semua. Begitu juga dengan disiplin dalam seni silat juga mampu membentuk jatidiri dan peribadi unggul umat Melayu.

Terdahulu itu, para tetamu khas diiringi masuk ke pentas oleh YM Guru Utama & Presiden PSSCM, Y.Bhg. Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Pengerusi bersama program, En. Rosman Bin Mat Deli dan En. Zainol Bin Saifuddin serta barisan jawatankuasa PSSCM.

Turut hadir ke majlis YB P.Kamalanathan, Ahli Parlimen Hulu Selangor, YB Dato’ Mohd Isa Bin Abu Kasim, ADUN N12 Batang Kali, En. Megat Zulkarnain Bin Tan Sri Omar Din, Setiausaha Agong PESAKA, En. Kamal Bahari Bin Kamaruddin, Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum SMK Syed Mashor Batang Kali.

Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah dalam ucapannya menekankan bahawa masyarakat tidak seharusnya memandang rendah kepada seni mempertahankan diri khususnya silat Melayu kerana ianya merupakan benteng ketiga pertahanan Negara selepas tentera dan polis. Beliau juga berharap agar suatu hari nanti seni mempertahankan diri khususnya silat dipelajari oleh setiap rakyat di negara ini dan bakal menjadikan slogan 1Warganegara 1Silat (seni mempertahankan diri) sebagai realiti.

Seramai lebih 1000 orang ahli Seni Silat Cekak Malaysia dari seluruh negara mengambil bahagian dalam demonstrasi ini. Kali terakhir PSSCM menganjurkan demonstrasi sebegini lebih 4 tahun yang lalu di negeri Perlis.

Galleri Foto di sini …