15 Januari 2012, Sepang – Seramai 80 orang Tenaga Pengajar telah berkampung di Paya Indah Wetlands, Dengkil di sini sempena Kursus Jurulatih Kelas Kemahiran dan Pemberi Markah Ujian Sijil Rendah PSSCM Zon Tengah 2012 dari 14 hingga 15 Januari 2012.

En Mohamad Fadillah bin Muhamad Ares, Pengerusi Jabatan Kursus Kemahiran dan Ujian (JKKU) dalam ucapan alu-aluannya berkata tujuan dan matlamat kursus ini adalah untuk penambahbaikan dan kualiti pengurusan kelas-kelas kemahiran dan pengendalian Ujian Sijil Rendah. Beliau juga bertanggungjawab memastikan sistem Ujian Sijil Rendah yang dipraktikkan adalah seragam di seluruh Malaysia.

Kursus dua hari ini telah dirasmikan En. Safaran bin Haji Ahmad, Pengerusi Persilatan PSSCM. Kali terakhir kursus ini dijalankan adalah pada tahun 2005. Peserta-peserta kursus telah diberi penerangan lengkap secara teori dan praktikal serta diberi peluang untuk bersoal jawab dengan Pengerusi Pesilatan. Bagi memastikan penyelarasan dan penyeragaman sistem pengendalian Ujian Sijil Rendah PSSCM, para peserta diberi latihan praktikal seperti Ujian Sijil Rendah yang sebanar. Pelbagai soalan dikemukakan bagi memastikan tiada sebarang pertikaian dan permasalahan semasa hari ujian nanti.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh En. Safaran bin Haji Ahmad, Pengerusi Persilatan PSSCM mewakili YM Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Guru Utama & Presiden PSSCM. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta kursus kerana menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang kursus ini berlangsung.

Beliau juga berharap agar kursus ini memberi impak kepada semua peserta dan dapat melahirkan Tenaga Pengajar generasi baru yang berkeyakinan dan bertanggungjawab memastikan setiap ahli yang akan mengambil Ujian Sijil Rendah bukan hanya lulus malah mereka menjadi seorang yang berani dan bertanggungjawab dalam diri mereka.

 

Wartawan : S.Shahrulnizam Sheikh Ismail
Jurufoto : Zainal Abidin Bin Othman