22 Oktober 2011, Gombak – Majlis Istiadat Konvokesyen PSSCM Peringkat Zon Tengah yang diadakan di Dewan Gemilang Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institut (UniKL BMI) di sini penuh gemilang dengan adat istiadat berupa majlis konvokesyen universiti.

Galleri Foto Istiadat Konvokesyen PSSCM Zon Tengah di sini …

Majlis yang bermula dengan perarakan masuk para penerima sijil menengah dan sijil rendah Silat Cekak dan disusuli dengan perarakan masuk Jawatankuasa Pusat serta YDP cawangan ke pentas serta diikuti dengan perarakan utama masuk ke dewan di mana perasmi diiringi oleh YM Guru Utama PSSCM serta pembesar-pembesar PSSCM dan para pembawa bunga telur dan parang lading istiadat naik ke pentas.

Perasmian dan penyampaian sijil dalam majlis pada kali ini disempurnakan oleh Prof. Dr. Badri Bin Abu Bakar,  Dekan UniKL BMI. Dalam ucapan majlis perasmiannya, Prof. Dr. Badri memuji majlis anjuran PSSCM ini dengan ungkapan ‘cantik’, ‘indah’ dan ‘gemilang’. Majlis yang bertemakan “Budaya Mentransformasi Kecemerlangan Insaniah” ini signifikan dengan arus kemodenan negara serta selaras dengan hasrat kerajaan ke arah melahirkan warga yang produktif dan dinamik serta mampu berdaya saing dengan bangsa atau negara lain. Beliau juga berharap agar kata-kata hikmah “Takkan Melayu Hilang Di Dunia” menjadi pencetus iltizam kepada semua ahli PSSCM dalam mempertahankan budaya bangsa ini serta membuang ungkapan “Melayu Mudah Lupa” dari pandangan dan pemikiran.

YM Guru Utama & Presiden PSSCM, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah dalam ucapannya pula mengungkap sejarah majlis penyampaian sijil Rendah Silat Cekak yang pertama diadakan pada tahun 1975 semasa zaman Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad yang mana katanya Ustaz Hanafi memilih sijil bukannya bengkung adalah bertujuan bagi memartabatkan Silat Cekak ini sebagai silat akademik.

Pada majlis ini seramai 46 orang graduan menerima Sijil Menengah Silat Cekak manakala 287 orang graduan menerima Sijil Rendah Silat Cekak dengan 29 daripadanya menerima Sijil Rendah Silat Cekak dengan Kepujian. Sepanjang majlis berlangsung, alunan muzik gamelan dan muzik silat berkumandang bersilih ganti.

Mulai tahun ini, majlis konvokesyen PSSCM diasingkan kepada tiga zon iaitu Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Utara kerana jumlah penerima sijil yang ramai dan meningkat setiap tahun.

Galleri Foto Istiadat Konvokesyen PSSCM Zon Tengah di sini …

Wartawan : Admin
Gambar : Jabatan Penerangan PSSCM