5 Februari 2012, Kuala Lumpur – Majlis Sambutan Maulidurrasul Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Peringkat Kebangsaan1433H pada kali ini berlangsung di Dewan Besar UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Lebih 400 orang ahli dari cawangan, pusat latihan, kelas latihan dan IPT PSSCM sekitar Lembah Kelang menghadiri majlis ini sehari ini. Turut hadir waki dari cawangan-cawangan PSSCM di seluruh negara.

Aturcara pada pagi ini dimulai dengan perarakan masuk YM Guru Utama, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah bersama Ahli LPT serta Jawatankuasa Pusat & Cawangan PSSCM diiringi Selawat Tola’al Badru dan diikuti dengan Selawat Badriyyah.

Alunan ayat-ayat suci Al-Quran pula diperdengarkn oleh Sdr. Sazarin Sardomo, Ahli LPT & JKP PSSCM.

Tuan Hj. Ghazali Abd Rahman seterusnya memimpin program berzanji, marhaban dan qasidah burdah.

Majlis pada kali ini seterusnya diserikan lagi dengan Selawat Badriyyah yang disampaikan oleh seramai 16 orang anak-anak Cekak di bawah pimpinan Sdr. Azman bin Malik. Anak-anak ini kemudiannya memperdengarkan bacaan Kalamun Qadim dan diikuti dengan Selawat Adnani.

Majlis penyampaian sumbangan wakaf dan zakat bagi pembinaan pondok pengajian Islam Ad Dirasah Ad Diniah As Salamiah di Bukit Tualang, Merbok Kedah diadakan. Ustaz Rusli bin Jamaludin menerima replika cek berjumlah RM31,000 untuk tujuan tersebut.

Majlis yang bersambung pada sebelah petang dimulai dengan ceramah maulidurrasul yang disampaikan oleh Ustaz Rusli Bin Jamaludin yang mengupas dengan lengkap tentang sejarah kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau juga turut mengaitkan kesamaan perjuangan Seni Silat Cekak ini selaras dengan sirah Rasulullah s.a.w.

Majlis Perasmian Penutup Sambutan Maulidurrasul pada kali ini telah disempurnakan oleh Prof. Madya. Dr. Ar. Hj. Abdul Majid Ismail, Naib Presiden, PSSCM. Majlis berakhir jam 6.00 petang.