25 Februari 2012, USM Pulau Pinang  – Dewan Tuanku Syed Putra (DSTP), USM dimeriahkan dengan persembahan dari pelbagai seni mempertahankan diri sempena sambutan Perayaan Ulangtahun ke-35 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Universiti Sains Malaysia.

Majlis Malam Pendekar ini dimulakan dengan perarakan masuk Presiden PESAKA, YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Haji Mohd Rustam selaku perasmi majlis dengan diiringi oleh YM Guru Utama PSSCM Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah dan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Omar bin Osman. Majlis turut dihadiri oleh pihak pengurusan atasan USM iaitu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Prof. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Timbalan Naib Canselor (Komuniti dan Jaringan Industri) Prof. Dato’ See Ching Mey. Selain itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknologi Petronas, Mohamed Noor Rosli Baharom turut hadir.

Di dalam ucapan aluan Saudari Mohamad Isra Suhaili bin Iskandar selaku pengarah projek Sambutan Perayaan 35 tahun PSSCMUSM mengucapkan ribuan terima kasih dan rasa berbesar hati di atas kehadiran YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam ke program ini dan mengharapkan dengan kehadiran beliau dapat meniupkan semangat mahasiswa-mahasiswa untuk meneruskan usaha-usaha memelihara keaslian seni mempertahankan diri dan seterusnya mendalami nilai-nilai pembentukan jati diri yang tersirat di dalamnya.

YM Guru Utama PSSCM Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah merakamkan rasa syukur beliau di atas kelancaran program Malam Pendekar ini. Dengan kehadiran YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam selaku perasmi pada majlis ini telah berjaya mengangkat martabat budaya silat sebagai satu wadah di dalam pembentukan sahsiah diri dan seterusnya membentuk jati diri mahasiswa selaras dengan tema progam kali ini iaitu “Seni Bela Diri Tunggak Jati Diri Negara”. YM Guru Utama berharap agar setiap mahasiswa dapat memahami dan menghayati maksud yang tersirat dan tersurat di dalam tema ini.

YM Guru turut mengungkap sedikit sejarah tentang PSSCM di USM yang telah menjangkau usia penubuhan 35 tahun sejak tahun 1973 dan dengan rasa bangga menyatakan bahawa USM adalah satu-satunya IPT yang telah mengiktiraf silat cekak dalam akademik dengan 6 jam kredit di dalam Ko-Kurikulum. Dengan ini, membuktikan bahawa ilmu silat cekak mempunyai nilai akademik yang sangat tersusun samaada dari aspek pengurusan persatuan, persilatan dan perguruan yang merangkumi teori dan praktikal.

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan oleh YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam buat Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dan PSSCMUSM kerana berjaya menganjurkan program peringkat kebangsaan dengan jayanya. Beliau sangat berbesar hati dengan usaha-usaha memartabatkan seni silat melayu seperti ini dan mengharapkan agar persatuan seni mempertahankan diri yang lain dapat melakukan perkara yang sama. Beliau percaya bahawa program hari ini telah berjaya memberi pendedahan kepada masyarakat kita tentang kelangsungan seni bela diri yang ada di Malaysia.

Beliau seterusnya mengingatkan mahasiswa-mahasiswa tentang perlunya memahami setiap falsafah disebalik gerak seni mempertahankan diri itu. Bukan sekadar mahir pada pergerakan fizikal tetapi setiap mahasiswa perlu turut mendalami nilai-nilai yang ada. Mengakhiri ucapan, beliau berharap agar kerjasama yang erat antara pihak Universiti dan PSSCM wajar diteruskan bagi membantu kerajaan mengekalkan warisan Budaya Bangsa Melayu dalam diri pelapis pemimpin Negara. Dengan diiringi YM Guru Utama Datuk Hj. Maideen Kadir Shah, YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Haji Mohd Rustam telah menyempurnakan perasmian program Malam Pendekar dengan gimik menyarungkan sebilah keris ke sarungnya.

Sebanyak sembilan persembahan daripada pelbagai seni mempertahankan diri telah dipertontonkan kepada hadirin. Pertubuhan seni mempertahankan diri yang terlibat di dalam program ini selain daripada PSSCM adalah Seni Silat Gayung Malaysia, Seni Silat Pusaka Warisan, Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia, Seni Silat Laksamana Raja Laut, Persatuan Silambam Malaysia dan Kelab Kung Fu USM.  Dalam program ini, hadirin berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi istimewa daripada PSSCM seperti Demonstrasi IPT gabungan Silat Cekak Malaysia, demonstrasi berbentuk sketsa daripada Seni Silat Cekak Malaysia Kampus Kejuruteraan, dan demonstrasi Seni Silat Cekak Malaysia Kampus Induk. Persembahan khas senjata rasmi Seni Silat Cekak iaitu Parang Lading menjadi acara kemuncak pada program Malam Pendekar ini.

Galleri Foto di sini …

Oleh : Deqmah Anja
Foto : Jabatan Penerangan PSSCM