Majlis Penutup Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5

Majlis Penutup Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5 bermula jam 6.00 petang dengan perarakan beristiadat Ketua Menteri Melaka selaku Presiden Persekutuan Seni Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam diiringi oleh YM Guru Utama PSSCM Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UKM Y. Bhg. Prof Dr. Ir Othman A. Karim.

Di dalam ucapan aluan Saudari Hazrina binti Yusof Hamdani selaku pengarah Program Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5 mengucapkan ribuan terima kasih dan rasa berbesar hati di atas kehadiran YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam ke program ini dan mengharapkan dengan kehadiran beliau dapat meniupkan semangat penuntut-penuntut untuk meneruskan seni silat ini sebagai satu budaya selaras dengan tema program  “Penuntut Berbudaya, Mahasiwa Berjaya”.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UKM Y. Bhg. Prof Dr. Ir Othman A. Karim di dalam ucapan beliau menyatakan perasaan bangga dan mengucapkan syabas kerana PSSCMUKM berjaya menganjurkan Program Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5 dengan lancarnya. Program sebegini diharapkan dapat membentuk penuntut yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi mampu menjadi pemimpin dan pengurus yang baik.

YM Guru Utama PSSCM Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah merakamkan rasa syukur beliau di atas kelancaran  Program Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5 ini. Beliau turut mengungkap sejarah Karnival Wajadiri IPT PSSCM yang telah dimulakan sejak tahun 2007 di UIAM Gombak, kemudiannya 2008 di UniKL BMI, 2009 di UiTM Puncak Alam dan terakhir di UPSI pada tahun 2010. Jumlah penyertaan dari tahun ke tahun semakin meningkat dan ini membuktikan bahawa silat cekak makin diterima di kalangan penuntut IPT.

Sekali lagi beliau mengingatkan bahawa karnival ini bukan sekadar pertandingan semata-mata, tetapi satu wadah untuk mengumpulkan ahli-ahli PSSCM di kalangan penuntut IPT khususnyanya dan ahli-ahli PSSCM amnya bagi mengukuhkan perpaduan dikalangan ahli PSSCM. Perlu difahami bahawa Silat Cekak bukanlah suatu persatuan yang bersifat sukan malah ianya adalah suatu ilmu mempertahankan diri.

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan oleh YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam buat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dan POSSCMUKM kerana berjaya menganjurkan program peringkat kebangsaan dengan jayanya. Beliau percaya bahawa kejayaan seperti ini menghasilkan impak yang positif dalam penuntut yang terlibat samaada terlibat dalam pengurusan mahupun sebagai peserta kerana PSSCM sememangnya sebuah persatuan yang mampu mengisi keperluan modal insan dalam diri penuntut IPT di Malaysia ini.

Seterusnya beliau mengharapkan agar kerjasama yang erat antara pihak Universiti dan PSSCM wajar diteruskan bagi membantu kerajaan mengekalkan warisan Budaya Bangsa Melayu dalam diri pelapis pemimpin Negara supaya dapat mempersiapkan diri mereka dalam menempuh alam kehidupan selepas alam university ini. Semoga cita-cita dan hasrat murni kedua-dua belah pihak dapat dicapai demi kepentingan agama, bangsa dan Negara.

Debaran peserta untuk mengetahui keputusan pertandingan diredakan dengan pengumuman pemenang Pertandingan oleh Saudara Rosman bin Mat Deli selaku Ketua Pertandingan. Keputusan dipecahkan mengikut kategori pertandingan. Dengan kemenangan 3 emas bagi kategori 2, 3 dan 4 meletakkan pasukan UTP sebagai JOHAN keseluruhan putera. Naib johan bagi keseluruhan pasukan putera adalah PSAS, Behrang manakala tempat ketiga adalah Politeknik Pasir Gudang. Dengan menggungguli kategori 1 dan 2 melonjakkan pasukan UPSI sebagai juara keseluruhan puteri. Bagi naib johan keseluruhan pasukan puteri adalah pasukan UTP dan tempat ketiga adalah pasukan UIA, Gombak. Selain itu, pihak juri sebulat suara memilih pasukan UKM (puteri) sebagai penerima Anugerah Khas Juri dan UiTM Melaka (Putera) menerima anugerah Khas Pasukan Harapan.

Ketua Pertandingan, Saudara Rosman Mat Deli sekali lagi menyempurnakan istiadat Penyerahan Program Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1 Malaysia kali ke-6 kepada bakal tuan rumah tahun hadapan iaitu UiTM Melaka. Nyanyian lagu Warisan Mutlak berkumandang mengakhiri majlis penutup Program Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1 Malaysia kali ke-5.

Galleri foto di sini …

 

Oleh : Deqmah Anja
Foto : Shaiful Yusop