11 Februari 2012, Bangi – Ketangkasan gerak, keunikan formasi dan keaslian buah menjadi nadi kepada Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5 yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abd. Razak (DECTAR) UKM baru-baru ini. Sebanyak 57 pasukan yang terdiri daripada wakil-wakil dari IPT-IPT seluruh Malaysia telah menyertai karnival kali ini.

Majlis Perasmian Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5

Majlis perasmian Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5 dimulakan dengan perarakan ketibaan AJK Pusat serta Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib PSSCM. Seterusnya perarakan beristiadat YM Guru Utama dan Presiden PSSCM merangkap perasmi diiringi dengan dif-dif terhormat. Karnival kemudiannya disusuli dengan bacaan solawat dan Nyanyian lagu Negaraku serta Lagu rasmi UKM, Varsiti Kita.

Selaku pengarah projek, Saudari Hazrina binti Yusof Hamdani mengalu-alukan kehadiran semua penuntut dari IPT seluruh Malaysia dan dengan berbesar hati mengharapkan agar setiap hadirin dapat merasai satu pengalaman yang terbaik sepanjang berada di Karnival ini. Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu samada secara langsung atau tidak langsung dalam merealisasikan Karnival ini.

Di dalam ucapan Puan Kalthum bin Ibrahim selaku Penasihat PSSCMUKM, beliau mengucapkan syabas kepada PSSCMUKM kerana berjaya mewujudkan satu wadah untuk penuntut-penuntut IPT bergiat aktif dalam memperjuangkan seni melayu. Dengan wujudkan karnival yang sebegini besar dapat memberikan satu pengalaman dari segi kepimpinan, pengurusan dan jalinan diantara penuntut-penuntut seluruh Malaysia. Beliau seterusnya mengingatkan agar objektif karnival ini difahami dan dihayati oleh setiap hadirin.

Karnival dengan tema “Penuntut Berbudaya, Mahasiwa Berjaya” ini telah dirasmikan oleh YM Guru Utama, Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah. Selaras dengan tema tersebut, YM Guru mengharapkan satu transfomasi di kalangan penuntut IPT yakni penuntut IPT PSSCM bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi mempunyai kefahaman berbudaya dan mempunyai nilai siasah diri yang tinggi.

Di dalam ucapannya, YM Guru Utama turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada PSSCMUKM terutamanya kepada Saudari Hazrina binti Yusoff Hamdani selaku Pengarah Projek karnival ini  diatas kejayaan menganjurkan Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5 ini. Dengan keberanian dan kesungguhan, segala cabaran dan halangan dalam menganjurkan satu program yang melibatkan lebih daripada seribu orang peserta ini dapat ditempuhi. Ini membuktikan bahawa program anjuran PSSCM mempunyai struktur pengurusan yang terbaik dan penuntut-penuntut PSSCM mempunyai kriteria kepimpinan yang cemerlang.

Seterusnya, YM Guru Utama mengingatkan agar tujuan Karnival diadakan bukan untuk menentukan siapa yang paling hebat tetapi untuk mencari kaedah yang terbaik dan mencungkil kreativiti dalam persembahan seni silat cekak. Kreativiti persembahan yang dibuat perlulah mengekalkan keaslian gerak dan silibus silat cekak tersebut. Dengan satu pukul gong oleh YM Guru Utama, maka terasmilah Karnival Wajadiri IPT PSSCM 1Malaysia kali ke-5 ini.

Majlis Perasmian diteruskan dengan perarakan panglima yang membawa watikah pengistiharan pertandingan dan piala pusingan, kemudiannya disusuli dengan lafaz pengistiharan oleh Saudara Rosman bin Mat Deli selaku Ketua Pertandingan. Bergema dewan DECTAR lafaz ikrar daripada para-para juri dan kemudiannya lafaz ikrar dari peserta.

Galleri foto di sini …

Oleh : Deqmah Anja
Foto : Shaiful Yusop