(Kosmo! 11 Mei 2011 ms 12) Oleh BASIR ABU BAKAR

HULU SELANGOR – Seramai enam jaguh silat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) akan menyertai Kejohanan Seni Silat Warisan Malaysia di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak pada 11 Jun ini.

Ketua Penerangan PSSCM, Rosman Mat Deli berkata, enam jagoan itu bakal mencipta kejutan setelah 27 tahun pesilat persatuan itu tidak menyertai pertandingan silat olahraga di peringkat kebangsaan.

“Cabaran pada kejohanan itu akan menjadi batu loncatan bagi kami menunjukkan buah pukulan dan pencak tari yang unik bagi memeriahkan dunia persilatan negara setelah lama ‘bertapa’,” katanya ketika ditemui semasa rakaman dokumentari di Pusat Latihan PSSCM di Bukit Beruntung di sini semalam.

Kejohanan bertemakan ‘Pertembungan hulubalang’ itu bakal menyaksikan pertarungan sengit sebanyak 20 pertubuhan silat tempatan dan wakil antarabangsa.

Menurut Rosman, PSSCM yang mempunyai 230,000 ahli berharap penyertaan mereka akan dapat memeriahkan lagi kejohanan tersebut.

Ujarnya, kejohanan seperti itu berupaya menghidupkan kembali seni silat Melayu yang semakin dipandang sepi ke peringkat dunia.

Sementara itu, penganjur kejohanan, Jak Othman berkata, krew produksi Homeland Frontier Sdn. Bhd.  (Homeland Frontier) kini sedang menjelajah seluruh negara untuk menjejak lapan pertubuhan silat bagi rakaman dokumentari.

“Rakaman berkonsep program realiti televisyen itu bakal dihoskan oleh Ed chard, 45, yang merupakan seorang guru silat dari Australia dan bakal disiarkan ke seluruh dunia,” katanya yang mula melakukan jelajah sejak 29 April lalu.