29 Mei 2012, Kuala Lumpur – Bertempat di Taman Tasik Titiwangsa di sini jam 8.30 malam,  Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) buat julung kali telah mengadakan sambutan Hari Seniman 2012.

Seramai hampir 10,000 penggiat pelbagai cabang seni telah hadir menyertai program tersebut. YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri KPKK telah merasmikan program tersebut dan di dalam ucapannya, beliau telah melancarkan penubuhan Yayasan Seniman P. Ramlee bertujuan bagi membantu menampung segala aktiviti seni dan budaya. Dana permulaan tersebut berjumlah sebanyak RM 1 juta disumbangkan oleh KPKK dan sebahagiannya dibiayai oleh Yayasan Al-Bukhari sebanyak RM 500 ribu.

Galleri Foto di sini …

Pada majlis tersebut seramai 42 anak seni daripada 11 bidang seni termasuk seni beladiri menerima Anugerah Tokoh Seni Budaya. YB Datuk Seri turut mengumumkan penubuhan Kursi P. Ramlee iaitu sebuah pusat penyelidikan dan kesarjanaan dalam bidang artistik dengan peruntukan dana sebanyak RM 3 juta. Kursi P. Ramlee ini akan ditempatkan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) khusus untuk penyelidikan yang berkaitan dengan bidang seni dan warisan. Beliau berharap dengan adanya Kursi P. Ramlee akan dapat menyediakan pengajian dalam bidang ilmiah dan akademik bagi memperkasakan lagi bidang seni pada masa hadapan.

PSSCM telah dijemput oleh KPKK dan PESAKA bagi memeriahkan program tersebut. Turut hadir seramai 400 orang ahli PSSCM termasuk YM Guru Utama & Presiden, Datuk Haji Maideen dan isteri, Ahli Jawatankuasa Pusat dan Ketua Cawangan Negeri. Bagi mengenang jasa Guru-Guru seni beladiri, KPKK telah menyenaraikan seramai 5 orang sebagai Tokoh Seni Mempertahankan Diri Sepanjang Hayat 2012. Anugerah tersebut disampaikan oleh YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim kepada PSSLM Mahaguru Tan Sri Omardin, PSGF Almarhum Anwar Wahab, Persatuan Silambam, Persatuan Wushu dan PSSCM iaitu Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad. YM Guru Utama & Presiden, Datuk Haji Maideen mewakili PSSCM telah menerima anugerah tersebut diiringi oleh 4 orang Pembesar Silat Cekak, 8 orang Panglima Silat Cekak, 11 orang pembawa bendera Silat Cekak dan bendera Malaysia serta banner ucapan terima kasih kepada YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim. YM Datuk Haji Maideen telah menghadiahkan cenderahati berupa Logo PSSCM dan buku kepada YB Datuk Seri Utama.

Gimik penyerahan anugerah tersebut, penuh dengan adat istiadat PSSCM dan telah mendapat liputan yang hebat dari media dan tepukan yang gemuruh dari pengunjung termasuk ahli-ahli PSSCM. Acara pada malam tersebut dihidang dengan persembahan muzik, nyanyian, lawak jenaka, tarian, persembahan Upin & Ipin dan persembahan seni beladiri.

Sebanyak 5 pertubuhan seni beladiri telah mempersembahkan demonstrasi selama 4 minit termasuk daripada PSSCM. Selepas 26 tahun Almarhum Ustaz Hanafi kembali ke rahmatullah, beliau telah dianugerahkan oleh pihak kerajaan bagi mengenangkan jasa beliau memimpin dan mengasaskan PSSCM. Pada malam tersebut warga PSSCM telah menyaksikan satu sejarah yang amat bermakna kepada kita. Semoga kita bersama dan bersatu meneruskan perjuangan ini.

Galleri Foto di sini …

Sumber : JP PSSCM & BERNAM