10 Disember 2011, Sintok – Satu sejarah terukir di Dewan Tan Sri Othman, Universiti Utara Malaysia pada hari ini. Majlis Istiadat Konvokesyen Zon Utara Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Zon Utara yang penuh adat dan istiadat Melayu telah berjaya diadakan dengan penuh gilang kemilangan.

Majlis dimulai dengan perarakan masuk penerima sijil yang terdiri daripada penerima sijil menengah dan penerima sijil rendah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Majlis ini meraikan 42 orang penerima sijil menengah dan 200 orang penerima sijil rendah. Penerima sijil menengah terdiri daripada ahli-ahli seluruh Malaysia manakala penerima sijil rendah pula terdiri daripada ahli-ahli kelas latihan di negeri Kedah, Pulau pinang dan Perlis.  Majlis kemudiannya disusuli dengan perarakan beristidat ketua-ketua cawangan, ahli lembaga pelajaran dan tatatertib, pembesar-pembesar dan YM Guru Utara dengan diiringi dengan panglima yang membawa senjata istiadat dan diiringi dengan pembawa bunga telur.

Persembahan khas demonstrasi daripada ahli-ahli PSSCM cawangan Seberang Perai turut memeriahkan suasana. Hadirin turut berpeluang untuk menyaksikan persembahan khas parang lading yang dipersembahkan oleh ahli-ahli PSSCM Pulau Pinang.

Ucapan pembukaan Saudara Zulhilmi bin Muhammad Nasir selaku Pengarah Program I dan juga Yang Dipertua PSSCMUUM mengalu-alukan kehadiran semua hadirin ke majlis ini dan menyatakan perasaan gembira beliau terhadap pemilihan UUM sebagai lokasi majlis kali ini. Beliau turut menyatakan bahawa program sebegini merupakan satu peluang terbaik untuk ahli-ahli PSSCMUUM dalam mempelajari pengurusan majlis dan seterusnya membentuk kemahiran insaniah dalam setiap ahli yang terlibat.


YDP Cawangan Seberang Perai antara penerima sijil Menengah Silat Cekak

Majlis yang bertemakan “Budaya Mentransformasikan Kecemerlangan Insaniah” ini telah dirasmikan oleh YM Guru Utama PSSCM, Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah. Pengertian tema diterjemahkan dengan harapan besar YM Guru Utama terhadap kecemerlangan setiap ahli yang digarapkan melalui pemahaman dan semangat perjuangan yang tinggi. Beliau mengharapkan agar kata-kata “Bersama dan Bersatu” menjadi pencetus semangat kepada semua ahli untuk berjuang dengan ikhlas dan amanah. Beliau turut mengingatkan kepada semua penerima sijil agar tidak menganggapkan sijil ini sebagai satu titik penyudah tetapi sebagai titik permulaan untuk perjuangan yang lebih jauh.

Penyampaian sijil turut disempurnakan oleh YM Guru Utama Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah diiringi oleh Prof. Madya Ar. Dr. Hj. Abdul Majid Ismail selaku Pengerusi Konvensyen PSSCM 2011. Penyampaian sijil dimulai dengan Penerima Sijil Menengah, diikut dengan penerima Sijil Rendah. Dalam Majlis ini, seramai 19 orang penerima sijil rendah telah menerima anugerah kepujian.

Majlis yang selesai jam 12.00 tengahari ini diakhiri dengan Nyanyian Warisan Mutlak dan perarakan keluar YM Guru Utama, Pembesar-pembesar dan YDP-YDP Cawangan.

Galleri Foto di sini …

Wartawan : Deqmah Anja
Foto : Jabatan Penerangan PSSCM