21 Februari 2010, Gombak – PSSCM UIAM dengan kerjasama Sekretriat IPT Lembah Kelang PSSCM telah menganjurkan Kursus Pentadbiran IPT Kebangsaan 2010 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dari 19hb-21hb Februari 2010

Antara objektif kursus ini ialah untuk melahirkan graduan yang berkebolehan dalam pentadbiran dan pengurusan, mewujudkan interaksi di antara mahasiswa-mahasiswa dari IPT seluruh Negara, dan menyahut seruan kerajaan dalam melahirkan masyarakat Modul Insan yang berteraskan budaya Bangsa Melayu. Program ini telah disertai oleh 152 peserta daripada 36 IPTA dan IPTS dari seluruh Negara. Para peserta adalah di kalangan Ahli Jawatankuasa Tertinggi di setiap IPT.

Kursus tiga hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UIAM iaitu Professor Nik Ahmad Kamal Bin Nik Mahmod. Pengisian ceramah juga telah dimuatkan dalam kursus ini yang telah disampaikan oleh Tn Hj Ghazali Abd Rahman (LPT PSSCM) yang bertajuk ”Silat Cekak Teras Pemantapan Rohani Dan Akidah”. Antara pengisian lain ialah mereka telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran pentadbiran iaitu mengenai mesyuarat agong tahunan yang telah disampaikan oleh En Khaharuddin Abd Rahman (Penolong Setiausaha II PSSCM), Kewangan (En Anuar Aziz, Bendahari Agong PSSCM), Perlembagaan Persatuan(En Zaini Marzuki, Jabatan Perundangan PSSCM) dan prosedur dan tatacara pelaksanaan program (En Shahrem, Penolong Ketua Penerangan PSSCM).