Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) telah menganjurkan sebuah program yang cukup berprestij yang julung-julung kalinya diadakan iaitu Sambutan Hari Guru Bersama Pemimpin PSSCM 2019 pada 20hb Julai 2019 bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya.

Majlis pada sebelah paginya diserikan dengan Istiadat Penganugerahan oleh Guru Utama kepada Barisan Kepimpinan di seluruh Negara atas jasa dan sumbangan mereka kepada pembangunan PSSCM.

Tidak dilupakan juga, sebagai menghargai pengorbanan Guru dalam memartabatkan budaya bangsa ini, PSSCM juga turut berbesar hati menyampaikan beberapa hadiah utama kepada Yang Mulia Datuk Guru Utama, antaranya Keris Istiadat, cincin dan tiket ke Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis.

Menariknya mengenai Istiadat yang dianjurkan pada sebelah pagi ini telah menyaksikan Pembesar-pembesar Silat Cekak, Pemegang Parang Lading dan ahli-ahli lama PSSCM di zaman Ustaz Haji Hanafi, telah mempersembahkan Demonstrasi Lading di hadapan Yang Mulia Datuk Guru Utama sebagai pembukaan Istiadat yang bersejarah ini.

Program ini telah disertai kira-kira 500 orang ahli PSSCM yang hadir dari seluruh Negara.

Majlis juga pada sebelah malamnya diteruskan dengan Malam Tautan Kasih, majlis makan malam yang dianjurkan bagi meraikan kesemua barisan kepimpinan PSSCM di seluruh Negara.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Wira Haji Omar bin Jaafar, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Beliau dalam ucapannya juga turut menyampaikan ucapan tahniah kepada YM Datuk Guru Utama serta barisan kepimpinan PSSCM atas segala usaha yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan lagi imej Seni Silat di mata masyarakat.

Di majlis yang sama, PSSCM juga turut melancarkan sebuah buku yang bertajuk “Bapa Pembangunan Silat Melayu – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia” yang mana buku ini menghimpunkan segala pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Guru-guru Silat Cekak sepanjang 54 tahun ini.

Diharapkan agar dengan penganjuran majlis berprestij ini, dapat membuka mata masyarakat supaya Seni Silat ini tidak dipandang lekeh, malah perlu diakui bahawa budaya Silat ini adalah sesuai mengikut peredaran masa.

Syabas dan tahniah kepada semua!