Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Hari ini, pada tanggal 12hb Disember 2019, merupakan satu lagi detik bersejarah buat semua warga Silat di Malaysia.

Kita telah menyaksikan bagaimana Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Warisan Negara serta penggiat Silat iaitu Pesaka Malaysia telah berjaya dalam usaha untuk Silat diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan semasa Persidangan Mesyuarat di Bogota, Republik Columbia.

Pengiktirafan ini pastinya menggembirakan warga Silat secara khususnya. Ini menunjukkan bagaimana pihak Kerajaan begitu komited dalam usaha untuk melindungi khazanah warisan budaya Negara ini.

Mewakili Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, saya selaku Guru Utama dan Presiden ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Setinggi-tinggi Ucapan Penghargaan dan Tahniah kepada semua pihak termasuklah badan-badan Pertubuhan Silat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan sehinggalah Pengiktirafan ini berjaya kita perolehi.

Kita imbas kembali, bagaimana selama 60 tahun semenjak kemerdekaan Negara, bagaimana Kerajaan Malaysia serta penggiat Silat berjuang untuk memartabatkan Silat. AlhamduLillah, Seni Silat telah menerima TIGA pengiktirafan di peringkat kebangsaan iaitu:-

1. Silat telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2007

2. Silat juga telah diiktiraf sebagai benteng pertahanan Negara ke-3 pada 2012

3. Silat telah diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi Negara oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 2015.

Susulan daripada kejayaan menerima pengiktirafan di peringkat lokal ini, sekali lagi Seni Silat telah dimartabatkan di peringkat global, pengiktirafan tertinggi dari UNESCO.

Dengan pengiktirafan global ini, maka ia sejajar dengan hasrat yang pernah disuarakan oleh YB Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia baru-baru ini mengenai usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meletakkan Silat sebagai Ko-kurikulum di peringkat Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi.

Sudah sampai masanya untuk pihak Kementerian mewajibkan silibus Silat ini bukan hanya untuk beberapa IPT tertentu sahaja, malah ia perlu diselaraskan supaya dimasukkan ke semua IPT-IPT dan sekolah-sekolah.

Justeru itu, sekali lagi ingin saya sarankan, berilah kami ruang dan peluang untuk memberikan pandangan serta cadangan bagaimana usaha ini dapat dilaksanakan dan secara tidak langsung didikan yang diterapkan melalui Silat ini mampu menjadi teras pemacu pembangunan Negara.

Sekian, saya sudahi dengan wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

DATUK HAJI MAIDEEN BIN KADIR SHAH
Guru Utama & Presiden
Persatuan Seni SIlat Cekak Malaysia