Assalamualaikum Warahmatullah..

Alhamdu Lillah,

Syukur kehadrat Ilahi dengan limpah Kurnia dan IzinNya, berkat Syafaat Junjungan Nabi Muhammad S.A.W, berkat dari Guru-Guru, karamah dan hikmah dari kedua Ibu dan Bapa, maka dapat kita bertemu pada tarikh 16 haribulan Mei pada tahun ini.

Tarikh 16 Mei saban tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Guru. Ini adalah simbolik sebagai menghargai warga pendidik khususnya para guru. Pada tahun ini, tema Hari Guru telah ditetapkan “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”.

Di dalam kaedah sistem pendidikan, wujudnya hubungan di antara Guru dan murid. Guru adalah insan yang menyampaikan ilmu. Di dalam diri seorang Guru terdapatnya ilmu yang amat berharga.

Pengorbanan Guru sangat besar dalam proses penyampaian ilmu. Kecekalan, ketabahan dan amanah yang ada dalam diri setiap Guru merupakan pengorbanan yang tiada tolok bandingnya demi satu matlamat melihat setiap anak muridnya berjaya pada masa akan datang.

55 Tahun kelestarian Silat Cekak adalah hasil jasa dan pengorbanan besar dari Guru-guru Silat Cekak. Bermula pada penzahiran Silat Cekak oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Ahmad, Almarhum Tn Haji Ishak Bin Hitam dan hari ini Yang Mulia Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Guru-guru Silat Cekak tidak lokek ilmunya, masanya dan tenaganya dalam “membina generasi baharu”.

Marilah kita sama-sama menghayati kejayaan hidup kita pada hari ini dengan tidak melupakan jasa dan pengorbanan Guru-guru kita. Mereka hadir menerangi perjalanan hidup kita dengan ilmu, ibarat seperti pelita yang memberikan cahaya untuk kita dengan membakar dirinya.

Di kesempatan ini, saya mewakili ahli-ahli PERSATUAN SENI SILAT CEKAK MALAYSIA merakamkan ucapan SELAMAT HARI GURU kepada semua warga pendidik seluruh Negara khususnya kepada Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Yang Mulia Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Barisan Tenaga Pengajar PSSCM dan semua guru serta warga pendidik seluruh Malaysia.

SELAMAT HARI GURU

“Taat ke guru membawa berkat
sedikit belajar banyak yang dapat
jika menderhaka menjadi mudarat
semua ilmu tiada yang lekat”

Sekian, Terima Kasih

HJ. MOHD HAFIZ JAMIL
Setiausaha Agung
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)