Assalamualaikum wrt wbt

Allahumma solli a’la saiyidina Muhammad wa a’la alihi wasohbihi wasallim

12 Rabi’ulawal dalam bulan hijrah Islam merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Tarikh ini lahirnya kekasih Allah swt iaitu Nabi Muhammad saw. Kedatangan Nabi Muhammad S.A.W merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini.

Dalam Surah al-Anbiya’, ayat 107; Allah swt berfirman: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam”.

Perjuangan dan pengorbanan Rasullullah saw dalam menegakkan serta mengembangkan Islam wajib kita hayati. Dengan perjuangan dan pengorbanan Baginda Rasullullah S.A.W ini lah, kita pada hari ini dapat mengenali agama Islam dan beriman kepada Allah swt. Sangat besar pengorbanan Rasullullah S.A.W kepada seluruh alam.

Sepertimana yang dipesan dan ditinggalkan oleh guru-guru Silat Cekak iaitu YM Almarhum Ust Hanafi bin Hj Ahmad dan YM Almarhum Tn Hj Ishak bin Itam agar kita sentiasa serta perbanyakkan selawat kepada Rasullullah S.A.W. Selawat sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada Rasullullah S.A.W. Moga dengan amalan selawat yang kita amalkan, kita akan mendapat syafaat Rasullullah S.A.W.

Dua selawat yang ditinggalkan oleh YM Almarhum Ust Hanafi bin Hj Ahmad untuk kita amalkan iaitu selawat Nuril Anwar dan selawat Tibbul Qulub. Dan satu selawat ditinggalkan oleh YM Almarhum Tn Hj Ishak bin Itam iaitu selawat Tafrijiyah. Dan banyak lagi selawat yang ada yang dikarang oleh ulama’-ulama’ yang boleh kita amalkan seperti selawat Badar dan sebagainya. Kepada ahli-ahli Silat Cekak, semua selawat tersebut, kita sudah kumpulkan di dalam Kitab Ibadah: Bidayahtul Muhtadeen. Moga, kita sama-sama dapat amalkannya.

Allah swt juga berfirman di dalam Al-Quran :”Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.

Sempena Maulidur Rasul ini, saya menyeru agar kita sama-sama dapat perbanyakkan berselawat kepada Rasullullah S.A.W, agar kita mendapat syafaat Rasullullah S.A.W.

Allahumma solli a’la saiyidina Muhammad wa a’la alihi wasohbihi wasallim

 

YM Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah
Guru Utama & Presiden
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)