PERSATUAN SENI SILAT CEKAK MALAYSIA (PSSCM) dengan sukacitanya ingin menyampaikan ucapan setinggi penghargaan kepada YB Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik atas rancangan Kementerian Pendidikan untuk menjadikan ilmu Seni Silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah, selain subjek pilihan berkredit di universiti bagi memartabatkan warisan tradisi berkenaan.

Sekolah-sekolah turut digalakkan untuk mewujudkan kelab silat dengan sasaran sebanyak 5,000 kelab pada tahun hadapan. Selain itu, Seni Silat turut akan dijadikan salah satu kursus dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional agar pelajarnya boleh diberikan sijil yang dapat digunakan untuk menceburi kerjaya dalam bidang keselamatan.

Lebih menarik lagi, aktiviti mempromosikan Seni Silat juga akan dilakukan di luar negara dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia agar Seni Silat diwartakan sebagai warisan sejarah dunia.

Perkembangan ini merupakan suatu langkah ke hadapan yang akan memangkin anjakan paradigma dalam memartabatkan nilai ilmu Seni Silat Warisan bangsa. Pihak PSSCM menyokong penuh inisiatif tersebut dan sentiasa bersedia untuk turut serta secara langsung bagi memastikan rancangan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ahli-ahli PSSCM di seluruh Negara mendoakan agar usaha murni ini akan berjaya dan dapat meningkatkan nilai jati diri anak-anak muda harapan Agama, Bangsa dan Negara.