12 Jun 2010, Bukit Jalil – Pemuda Barisan Nasional telah menganjurkan Rally 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Seramai 15 ribu orang golongan muda yang terdiri dari pelbagai latar belakang agama dan kaum, termasuk penyertaan pertubuhan-pertubuhan belia dan NGO mengikuti program ini.

Rally 1Malaysia adalah program yang menonjolkan semangat 1Malaysia di kalangan belia negara yang mampu menerima keunikan dan perbezaan masing-masing demi mencapai satu hasrat bersama sebagai generasi muda Malaysia.

Program tersebut diselitkan juga dengan persembahan seni mempertahankan diri oleh lebih 1000 orang belia Melayu, Cina dan India daripada 4 pertubuhan seni beladiri iaitu Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia , Pertubuhan Silat Lincah Malaysia, Taekwando MGTF dan Silambam.

Seramai hampir 250 orang ahli demonstrasi PSSCM yang terdiri daripada kelas latihan dan IPT di sekitar Lembah Klang serta ahli demonstrasi dari Pusat Latihan Bukit Beruntung, Kelas Latihan Selayang, Pusat Latihan Kuang,UNISEL, MIAT dan UIA Nilai telah bergabung membuat persembahan yang menarik pada hari itu.

Melalui persembahan tersebut diharap dapat menarik minat belia-belia yang hadir untuk menyertai seni beladiri khasnya Silat Cekak. Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara.