Kuala Lumpur, 12 Mei 2012 – seramai 140 orang ahli Ibu pejabat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) telah hadir ke Dewan Jumaah, UTM Kampus Kota, Kuala Lumpur sempena Perjumpaan Ahli Ibu Pejabat PSSCM.

Suasana Dewan Jumaah yang eksklusif membuatkan mesyuarat petang ini berlangsung dangan tenang dan bermatlamat. Majlis dimulakan dengan pendaftaran ahli-ahli Ibu Pejabat dan serta kehadiran Jawatankuasa Pusat PSSCM, turut hadir YDP PSSCM cawangan Selangor En Zainol Bin Saifuddin. Majlis dimulakan dengan ucapan Setiausaha Agung PSSCM En Mohd Hafiz Bin Jamil. Beliau berterima kasih kepada semua ahli mesyuarat yang hadir disamping memberi maklumat akan perkembangan PSSCM sepanjang tahun ini .

Selepas itu, YM Guru Utama & Presiden PSSCM, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah memberikan ucapan perasmian dimana beliau merungkai dan mengenang kembali perjalanan guru-guru Silat Cekak. Bermula dari Al-marhum Ustaz Hanafi Haji Ahmad  yang menerajui PSSCM selama 21 tahun dan seterusnya diikuti oleh Almarhum Tuan Haji Ishak Bin Itam selama 23 tahun. Setiap pemimpin yang menerajui persatuan ini, sedikit demi sedikit membuat penambahbaikan bagi pembangunan persatuan. Alhamdulillah, dengan kerjasama yang diberikan oleh semua ahli khasnya ahli Ibu Pejabat, Mesyuarat Agong Luar Biasa pada 15 April yang lalu PSSCM telah membuat keputusan untuk membeli hartanah berjumlah RM 1.2 juta bagi menggantikan rumah persatuan di Jalan Kent disewa selama ini.

Satu lagi pembangunan persatuan ialah di Pusat Latihan PSSCM Cawangan Negeri Sembilan, di mana tanah seluas 1 ekar telah siap dibangunkan dengan dewan dan pelbagai lagi kemudahan telah dirancang. Menurut beliau lagi untuk masa-masa akan datang, semua program rasmi persatuan akan dilangsungkan di Negeri Sembilan dan ini seterusnya akan mengurangkan kos-kos penyewaan lokasi dan penyediaan tempat untuk program-program rasmi persatuan.

Sebelum merasmikan mesyuarat, Datuk Presiden mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin serta Jawatankuasa Pusat PSSCM, atas komitmen yang diberikan.Kemudian,  semua ahli yang hadir telah sebulat suara memberi mandat kepada AJK Pusat untuk memilih seramai 20 orang perwakilan ke MAP ke 40 nanti. Sebelum bersurai, hadirin bersama-sama menyanyikan lagi Warisan Mutlak. Semoga kita berjumpa di Mesyuarat Agong Perwakilan ke-40 pada 16 Jun 2012 nanti. Hidup Cekak!!

Galleri Foto di sini …

Wartawan : S. Shahrulnizam Sheikh Ismail
Foto : Jabatan Penerangan PSSCM