1 Oktober 2011, Rawang – Majlis Makan Malam Amal KASUMA 1 Selangor yang berlangsung di Mokhdar Educational Resort, Country Homes Rawang diadakan bertujuan bagi mengumpulkan dana bagi PSSCM Cawangan Selangor. Konsep yang dibawakan pada program makan malam ini adalah makan dan di dalam masa yang sama menyumbang kepada persatuan.

Galleri Foto di sini …

Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh seluruh ahli PSSCM Cawangan Selangor dan 5 Pusat Latihan yang terdapat dibawah PSSCM Cawangan Selangor. PSSCM Pusat, PSSCM Cawangan Negeri dan IPT serta IPTS juga turut sama membantu dalam mencapai matlamat program. Sebanyak 3 cawangan negeri iaitu Cawangan Kedah, Cawangan Negeri Sembilan dan Cawangan Kelantan telah menyertai program makan malam ini. Majlis di meriahkan lagi dengan kehadiran dan sokongan dari 23 IPT yang turut sama membeli tiket dan hadir pada majlis tersebut dan juga dengan kehadiran 9 orang AJK pusat.

Majlis Makan Malam Amal KASUMA 1 Selangor yang bermula jam 8.30 malam telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Abdul Shukur bin Haji Idrus, Ketua Penerangan UMNO Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), N13 Kuang. Di dalam ucapan tersebut, beliau telah berbesar hati untuk menyumbang sebanyak RM10,000 kepada persatuan.

Majlis makan malam pada kali ini membawa sedikit kelainan daripada majlis makan malam yang lain. Di samping menjamu selera, para tetamu juga disajikan dengan nyanyian karaoke, persembahan sketsa dan tayangan multimedia. Majlis diakhiri dengan ucapan dari Naib Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, YBhg En. Roslin Bin Ali Omar dan penyampaian cenderahati kepada wakil setiap cawangan negeri dan IPT yang hadir pada malam tersebut. Syukur Alhamdulillah dengan Doa dan Berkat dari YM Guru Utama dan Presiden, Datuk Hj. Maideen bin Kadir Shah, sokongan dari AJK Pusat, AJK PSSCM Cawangan Selangor serta perpaduan dan kesepakatan dari semua ahli PSSCM, Majlis Makan Malam Amal KASUMA 1 Selangor ini telah dapat dijalankan dengan lancar dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Galleri foto di sini …

Sumber : Jabatan Penerangan PSSCM