15 Disember 2012, Tronoh – Bertempat di Dewan Canselor, Universiti Teknologi PETRONAS mencatit sebuah lagi sejarah apabila Majlis Konvokesyen 2012 Peringkat Zon Utara julung kalinya diadakan di Dewan Canselor Universiti Teknologi PETRONAS. Majlis Konvokesyen yang dirasmikan oleh YM Guru Utama PSSCM, Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah tersebut dimulakan pada sesi pagi dengan Istiadat Penyampaian Sijil Rendah PSSCM kepada 347 graduan Sijil Rendah PSSCM dengan 33 orang daripadanya mendapat pangkat kepujian.Turut menyerikan majlis, kehadiran isteri YM Guru Utama, Datin Hajah Roznida binti Ali Omar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Teknologi PETRONAS, Tuan Haji Mohd Noor Rosli bin Baharom, serta barisan kepimpinan tertinggi PSSCM.

Suatu kelainan telah tercipta pada Majlis Konvokesyen kali ini, apabila buat pertama kalinya PSSCM mengurniakan anugerah khas iaitu Anugerah Tokoh Akademik PSSCM. Anugerah ini telah diberikan kepada Prof. Madya Ar. Dr. Haji Abdul Majid bin Ismail, NaibPresiden II PSSCM di atas kesungguhan beliau yang sangat komited dalam mengembangkan PSSCM khususnya melalui bidang akademik.

Pada sesi petang, Majlis Konvokesyen ini diteruskan dengan Seminar Silat Cekak bertajuk “Silat Cekak dalam Transformasi Pendidikan Negara”. Seminar itu melibatkan pembentangan kertas kerja oleh beberapa orang tokoh akademik iaitu Dr.Roziah binti Abdullah (Panel 1), Prof. Madya Ar. Dr. Haji Abdul Majid bin Ismail (Panel 2), Tuan Haji Mohd Noor Rosli bin Baharom (Panel 3) dan En. Shahrem bin Md Ramli selaku moderator. Pembentangan kertas kerja oleh panel-panel yang sangat berpengalaman itu telah mendapat sambutan yang sangat positif dari peserta yang hadir.

Dalam pada itu, YM Guru Utama Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran Universiti Teknologi PETRONAS di atas kesanggupan menjadi tuan rumah untuk konvokesyen kali ini. Beliau juga mengharap agar majlis ilmiah berbentuk pembentangan kertas kerja dapat memberi manfaat kepada ahli-ahli PSSCM untuk lebih memahami apa yang tersurat dan tersirat di dalam PSSCM. Majlis bersurai pada jam 6.00 petang.

Galleri Foto di sini 

Majlis Konvokesyen Zon Utara 2012
Anugerah Tokoh Akademik
 Forum “Silat Cekak Dalam Transformasi Pendidikan Negara”