(Kosmo 10 Jun 2011 m.s. 3)

IPOH – Penyertaan dalam Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru yang berlangsung esok membawa makna besar kepada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

Ketua Penerangan PSSCM, Rosman Mat Deli berkata kejohanan itu adalah yang pertama disertai persatuan silatnya dalam tempoh 27 tahun.

“Ia umpama kemunculan semula PSSCM setelah hampir 27 tahun tidak menyertai sebarang pertandingan silat di peringkat kebangsaan”.

“Kejohanan ini menarik minat kami kerana ianya berkonsepkan seni persilatan Melayu tulen”, katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Rosman berkata PSSCM percaya penganjuran kejohanan yang julung-julung kali itu mampu menjadi pemankin kepada usaha menghidupkan semula seni silat Melayu.

Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya mahu menjadikan pertandingan tersebut sebagai medan menonjolkan pencak tari dan buah pukul cekak yang unik kepada masyarakat.

“Sehubungan dengan itu, enam dari 23,000 pesilat yang bernaung di bawah PSSCM di seluruh negara akan membawa cabaran kami dalam kejohanan itu”, katanya.