16 Oktober 2011, Jengka – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan dan menjayakan Program Integrasi PSSCM UiTM SeMalaysia atas sokongan dan kerjasama daripada semua ahli serta pihak UiTM Pahang.

Galleri foto di sini …

Program ini telah berlangsung pada 15 dan 16 Oktober 2011 dan merupakan yang julung-julung kalinya diadakan di UiTM Pahang. Ianya merangkumi 3 aturcara iaitu Seminar Penghayatan Cekak, Makan Malam Perdana Sempena Perayaan 33 Tahun PSSCM Cawangan Pahang dan Bengkel Pengorganisasian UiTM. Program ini melibatkan penyertaan daripada UiTM seluruh Malaysia, IPT Zon Timur, IPT Zon Lembah Klang dan juga Kelas Latihan Cawangan Negeri seluruh Malaysia melibatkan seramai 380 orang peserta. Pendaftaran peserta bermula pada 14 Oktober 2011, jam 2.00 petang di Kolej Siswi.

Seminar Penghayatan Cekak merupakan  pembukaan program  yang berlangsung di Auditorium 1, UiTM Pahang pada 15 Oktober 2011.Program ini telah mendapat sambutan hebat dari segi penyertaan ahli, seramai 320 orang. Seminar ini telah dirasmikan oleh En.Muhammad Mokhtar bin Samat, Timbalan Rektor (HEP) UiTM Pahang. Program ini melibatkan tiga orang pembentang kertas kerja yang dijemput khas iaitu En.Roslin Bin Ali Omar selaku naib presiden 1 PSSCM, Tuan Haji Ghazali Bin Abdul Rahman selaku Ahli Lembaga Pelajaran Dan Tatatertib PSSCM, dan En.Yusoff Bin Husain selaku YDP PSSCM cawangan Pahang. Skop pembentangan yang dibentangkan oleh Tuan Haji Ghazali bin Abdul Rahman ialah Pembentukan Insan Kamil Melalui Kaedah Islam Yang Diterapkan Dalam Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Tajuk Pembentangan kedua ialah Nilai Silat Cekak Dari Segi Budaya yang dibentangkan oleh En. Yusoff Bin Hussain. Pembentangan kertas kerja yang ke tiga ialah En. Roslin Bin Ali Omar merangkap penggulung seminar penghayatan cekak yang bertajuk Nilai Silat Cekak Dari Segi Persatuan. Selain itu, program ini turut mendapat liputan daripada akhbar Sinar Harian dan Jabatan Penerangan PSSCM.

Tambahan pula, bagi Makan Malam Perdana Sempena Perayaan 33 Tahun PSSCM Cawangan Pahang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat  Wan Salman Bin Wan Ismail, Ahli  Dewan Undangan Negeri, Jengka  dan juga selaku wakil daripada Yang Amat Berhormat Menteri  Besar Pahang. Seramai 358 orang peserta termasuk alumni telah menghadiri majlis  makan malam ini yang bertempat di Dewan Serbaguna UiTM Pahang. Majlis makan malam ini adalah anjuran bersama PSSCM cawangan Pahang Sempena Perayaan Ke 33tahun PSSCM Cawangan Pahang. Tema yang digunakan dalam Majlis Makan Malam ini merupakan warisan melayu yang melambangkan kehidupan dan adat resam yang digunakan oleh orang melayu. Majlis tersebut bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 11.30 malam.

Program Integrasi PSSCM ini diakhiri dengan Bengkel Pengorganisasian UiTM Semalaysia  yang bertempat di Auditorium 2 UiTM Pahang. Bengkel pengorganisaian ini telah dihadiri  oleh 15 orang alumni selaku fasilitator dan 8 IPT, iaitu UiTM Shah Alam, UiTM Perlis, UiTM Perak, UiTM Bandaraya Melaka , UiTM Alor Gajah, UiTM Dungun, UiTM Pulau Pinang dan UiTM Puncak Alam dan Puncak Perdana. Selain itu, program ini turut dihadiri oleh En.Roslin Bin Ali Omar Selaku naib presiden 1 PSSCM, Penasihat PSSCM UiTM Pahang, Puan Zarina Zainul Rashid dan Penyelia PSSCM UiTM Pahang, Encik Mohd Irhan B. Ishak . Bengkel pengorganisasian ini telah dirasmikan oleh Pn. Zarina binti Zainul Rashid. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk  membentangkan dan membincangkan mengenai masalah dan cadangan penyelesaian tentang pengurusan persatuan di IPT  masing- masing. Program ini berakhir  pada jam 1.30 petang.

Galleri foto di sini …