Perutusan Guru Utama PSSCM Sempena Majlis Memperingati Kelahiran Seni Silat Cekak Malaysia

PERUTUSAN

Guru Utama Dan Presiden
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia
Yang Mulia Datuk Haji Maideen Kadir Shah (BCM, PCW)
Sempena Majlis Memperingati Hari Kelahiran Seni Silat Cekak Malaysia

 

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaNya, serta syafaat kekasihNya Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W., dan berkat guru-guru kita serta karamah dan hikmah kedua ibubapa kita, maka kita dapat bersama-sama di dalam Majlis Memperingati Hari Kelahiran Seni Silat Cekak Malaysia yang ke-51 tahun ini.

Mengimbas kembali sejarah asal usul Silat ini bahawa Silat Cekak berasal dari Negeri Kedah. Pernah diamalkan oleh panglima-panglima kerajaan Kedah di zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II. Salah seorang panglima kanan kerajaan Kedah iaitu Panglima Ismail, telah menurunkan ilmu silat ini kepada Panglima Tok Rashid. Kemudian, Panglima Tok Rashid pula telah mengamanahkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said. Silat ini kemudiannya telah terpendam selama 40 tahun sehinggalah Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad yang berasal dari Kedah, telah bertemu dengan Yahya Said.

Atas usaha Almarhum Ustaz Hanafi, Seni Silat Cekak ini telah dizahirkan semula ke alam nyata pada 28hb Disember 1965 di Jalan Gunung Alor Setar, Kedah Darul Aman. Bermula daripada tarikh tersebutlah, maka beliau kemudiannya telah menubuhkan Persatuan Seni SIlat Cekak Malaysia dan berjuang untuk mendaulatkan Seni Silat Melayu sebagai seni pusaka warisan bangsa Melayu yang bermutu tinggi. Pada 13 hb Ogos 1986, beliau telah kembali ke ramatullah setelah berjuang selama 21 tahun dan perjuangan beliau kemudiannya di sambung oleh Almarhum Tuan Haji Ishak bin Itam selama 23 tahun, dan seterusnya amanah perjuangan Seni Silat Cekak ini di sambung oleh saya mulai tahun 2009 hingga kini.

Di atas pengorbanan guru-guru kita, maka pada hari ini kita telah dapat mengecapi nikmat atas kejayaan perjuangan warga Silat. Melalui kerjasama dengan PESAKA Malaysia yang juga di asaskan oleh Almarhum Ustaz Hanafi bersama-sama dengan tiga badan pendiri Pesaka yang lain, Silat Melayu telah diikhtiraf oleh Kerajaan Malaysia sebagai “Seni Mempertahankan Diri Rasmi Negara” dan “Benteng Mempertahankan Negara Yang Ketiga”. Malah silat juga turut mendapat pengiktirafan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui program “Satu Sekolah Satu Silat”. Seni Silat juga telah diterima diperingkat pengajian tinggi sebagai mata pelajaran Ko-Kurikulum berkredit.

Ilmu Budaya Seni Silat Cekak sebagai ilmu orang Melayu yang bermutu tinggi telah dikaji secara ilmiah, melalui kaedah saintifik dan kaitannya dengan ilmu tauhid. Kajian yang telah dilakukan ini telah diiktiraf samada di peringkat tempatan dan juga antarabangsa, di mana wakil PSSCM telah mendapat Anugerah Emas di International Engineering Invention & Innovation Exhibition (i-ENVEX) 2016. Jurnal ilmiah berkaitan Silat Cekak Malaysia juga telah di terbitkan peringkat tempatan dan antarabangsa. Melalui ilmu budaya Silat Cekak ini juga, PSSCM telah diikhtiraf di peringkat antarabangsa dan dianugerahkan Outstanding Achievement Award in Empowering Woman oleh DYMM Raja Permaisuri Agong Sempena Sidang Kemuncak Wanita Islam Antarabangsa (WISE) 2016.

Perkembangan Seni Silat Cekak juga sangat baik di mana sehingga kini telah membuka sebanyak 124 kelas latihan di cawangan negeri dan di universiti awam dan swasta diseluruh negara. Hasrat guru-guru Silat Cekak Malaysia untuk melihat kejayaan Seni Silat Melayu di terima oleh golongan terpelajar telah terbukti. Kini Silat Cekak bukan sahaja di pelajari oleh penuntut-penuntut di universiti awam dan swasta, malahan turut juga di pelajari oleh pelajar-pelajar antarabangsa seperti dari Indonesia, Thailand, Brunei, Mesir, Yaman, Arab Saudi, German, Bangladesh dan pelbagai negara lagi. Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia juga telah di tadbir oleh para graduan lepasan pengajian tinggi yang mana dalam masa yang sama menjawat jawatan professional seperti ahli korporat, jurutera, peguam dan cendiakiawan.

Dengan adanya golongan professional ini, maka pentadbiran Seni Silat Melayu khususnya Seni Silat Cekak Malaysia dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap dan berkesan sehingga dapat meluaskan perkembangan ilmu Seni Silat Melayu di seluruh negara selama 51 tahun. Persatuan Seni SIlat Cekak Malaysia juga mempunyai hartanah yang bernilai tinggi dimana pemilikan aset ini sebenarnya melambangkan kejayaan ilmu budaya Seni Silat Melayu, ia juga membuktikan bahawa guru-guru Silat telah berjaya membentuk jatidiri Melayu Muslim yang dapat berbakti dan memberi manafaat kepada Bangsa, Agama dan Negara.

Akhirnya, saya berharap, melalui penganjuran majlis memperingati kelahiran Silat Cekak dengan bacaan tahlil dan yassin dapat menambah keberkatan dan rasa kesyukuran kita terhadap perjuangan ini. Marilah kita bersama memohon supaya Allah SWT mengurniakan ukhuwah penyatuan dan perpaduan dikalangan masyarakat silat, agar dapat kekal hingga ke akhir hayat. Kita juga memohon semoga diberikan keselamatan dan kesejahteraan serta dijauhkan daripada keburukan dan perbuatan khianat kepada pemimpin silat ini dan pemimpin-peminpin diseluruh negara yang banyak berkorban masa, tenaga serta wang ringgit dalam memartabatkan bangsa agama dan negara. Kita berdoa agar Allah SWT mengurniakan kejayaan kepada PSSCM sebagai satu persatuan yang istiqomah dan kekal dalam perjuangan untuk mempertahanan bangsa agama dan negara.

 

YM Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah

Guru Utama dan Presiden
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia
28 Disember 2016