Perguruan

Category: Perguruan

Y.Bhg. Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah

Guru Utama Seni Silat Cekak Malaysia

 

Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah dilahirkan di Sg. Besi, Kuala Lumpur pada 18 Julai 1957 bersamaan 20 Zulhijjah 1376H (Khamis).  Bapanya Kadir Shah bin Syed Maidin dan ibunya Julaiha bte Mohd Ibrahim. Beliau anak yang keenam daripada sembilan beradik. Mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajjah Roznida bte Ali Omar pada 16 September 1984 bersamaan 20 Zulhijjah 1404H (Ahad).

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Pasar Road, Jalan Pudu (darjah 1 - 2).  Kemudian Sekolah Rendah Kebangsaan Ulu Klang (darjah 3 - 6).  Melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Lelaki Ampang (Ampang Boy School), Kuala Lumpur sehingga tingkatan tiga.  Dalam usia tersebut beliau lebih cenderung dalam bidang perniagaan bermula secara kecil-kecilan sehingga berjaya bergelar Tokoh Usahawan. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Wisma Yakin, Kuala Lumpur (PPWY).

Dari kecil lagi beliau amat meminati seni silat.  Beliau pernah mempelajari Silat Gayung Malaysia ketika berusia 13 tahun.  Pada tahun 1974 semasa usia 17 tahun beliau belajar Seni Silat Cekak Malaysia dengan al-marhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Guru Utama dan Presiden PSSCM di Jalan Haji Sirat, Kg. Baru, Kuala Lumpur.  Datuk Haji Maideen telah berguru secara peribadi dalam bidang keagamaan dan persilatan dengan Ustaz Hanafi selama 10 tahun.  Kemudian berterusan dengan YM Tuan Haji Ishak bin Itam.

Semasa remaja, beliau berguru dengan Tuan Syed Harun secara formal dalam bidang al-Quran.  Pada tahun 1997 semasa usia 40 tahun, beliau telah mendalami ilmu al-Quran dengan Tuan Syed Mustaffa bin Syed Othman, Imam Masjid Damai Datuk Keramat selama 2 tahun sehingga khatam.

Pada tahun 1975 beliau telah mengambil Ujian Sijil Rendah Silat Cekak dan Ujian Sijil Menengah pada tahun 1980. Al-marhum Ustaz Hanafi telah melantik beliau sebagai Jurulatih pada tahun 1977. Ahli LPT dan AJK Pusat PSSCM pada tahun 1981. 
Beliau juga pernah mewakili PSSCM dalam Kejohanan Silat Olahraga Kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 1984 dan mewakili negara dalam Kejohanan Silat Olahraga Sedunia pada tahun 1981 di Singapura serta 1982 di Jakarta Indonesia.
Atas pengalaman beliau selama 19 tahun dalam PSSCM, beliau dilantik sebagai Naib Presiden PSSCM oleh YM Tuan Haji Ishak bin Itam pada tahun 1993.  Semasa “Krisis 1993 dan 1994”, beliau telah bersama-sama berjuang mempertahankan PSSCM sehingga berjaya. Selaku orang kepercayaan Presiden dan Guru Utama, beliau seringkali diberi mandat mewakili Guru Utama dan Presiden dalam urusan yang melibatkan PSSCM, agensi kerajaan dan swasta. Ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin, terbukti selama 35 tahun semasa khidmatnya dalam PSSCM.

YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah menyerahkan Jawatan Guru Utama dan Presiden kepada Datuk Haji Maideen pada hari Rabu, 03 Jun 2009 bersamaan 09 Jamadil-Akhir 1430H di kediamannya dan secara beradat pada hari Khamis 23 Jun 2009 bersamaan 29 Jamadil-Akhir 1430H jam 1.00 pagi. Penyerahan ini telah di terima oleh semua pentadbir PSSCM dan Ketua Cawangan Negeri.  Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di Pusat Latihan Kuang pada hari Rabu 22 Julai 2009 bersamaan 29 Rejab 1430H seramai 116 orang.

Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah telah diisytiharkan sebagai Guru Utama PSSCM dan Pemangku Presiden PSSCM pada hari Sabtu 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1430H semasa Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa PSSCM yang berlangsung di Hotel DePalma, Ampang.

Atas jasa-jasa beliau dalam sumbangan kepada masyarakat, DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung telah berkenan mengurniakan Pingat “Darjah Panglima Mahkota Wilayah” membawa gelaran DATUK pada 02 Februari 2009 bersamaan 06 Safar 1430H.  Beliau juga merupakan Ahli Dewan Perguruan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) mulai 29 Disember 2009.

Category: Perguruan

YM Tuan Haji Ishak bin Itam

Guru Utama Seni Silat Cekak Malaysia (1986 - 2009)

 

Guru Utama PSSCM, Tuan Haji Ishak ItamYM Tuan Haji Ishak bin Itam sejak dari kecil lagi telah meminati seni silat Melayu, iaitu bermula dari umur 9 tahun sehingga ke umur 18 tahun beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani melalui bapa saudaranya En. Bakar dan En. Shafie b. Din. Seterusnya beliau mempelajari Silat Kuntau Jawa dari En. Hassan Jawa selama 2 tahun dan kemudiannya telah mempelajari Silat Sendeng dan Silat Minangkabau.

Kemudian beliau mempelajari pula Tomoi Siam dari En. Osman b. Ahmad (Man Balak) sehingga beliau menjadi Guru Tomoi selama 2 tahun. Semasa menjadi Guru Tomoi, beliau begitu yakin bahawa tiada satu silat Melayu boleh mengalahkan Tomoi Siam.

Selain daripada ilmu persilatan, beliau telah mempelajari ilmu kebatinan melalui Ustaz Azizan (Izan). Di samping itu, beliau telah mempelajari cara-cara membuat ubat tradisional merawat penyakit kencing manis. Tuan Haji Ishak b. Itam juga pernah mendapat pendidikan agama secara formal di Pondok Tuan Haji Mat Salleh Mesir, Tanah Liat yang pada masa ini menempatkan Maktab Adabi. Kemudian belajar pula di Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad b. Tuan Haji Hussein.

Pada tahun 1969, YM Ustaz Haji Hanafi b. Haji Ahmad telah dapat membuka kelas di Bukit Mertajam bertempat di Kubang Semang iaitu terletak lebih kurang 2 batu dari Cawangan PSSCM Seberang Perai pada masa sekarang ini. Kelas ini adalah merupakan kelas pertama yang diwujudkan di Bukit Mertajam, dimana pada masa tersebut bergerak di bawah Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Kelas ini telah diasaskan oleh Encik Abdullah b. Mohamad Zain dengan penyertaan seramai 16 orang penuntut. Dalam masa yang sama seorang tukang gunting rambut Encik Wan Omar telah berjaya mengajak YM Tuan Haji Ishak b. Itam untuk mempelajari Silat Cekak ini.

YM Tuan Hj Ishak bin Itam telah berjaya belajar silat ini selama 30 hari latihan sahaja. Setiap kali latihan, beliau sering dipukul oleh YM Ustaz Haji Hanafi dengan pokok teh pagar yang bertujuan hendak mengajar beliau supaya bersabar dan menerima ilmu silat ini dengan ikhlas hati dari tangan gurunya sendiri disamping menerima berbagai ujian dari gurunya.

YM Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad kemudiannya telah melantik beliau menjadi jurulatih. Sepanjang penglibatan beliau sebagai jurulatih, banyak tempat dan Cawangan serta Kelas Latihan telah disertainya termasuklah di TUDM Butterworth (1977), Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1975) dan di Kulim (1982). Beliau seringkali berulang alik mengajar silat ini di S. Perai dan P. Pinang.

Apabila YM Ustaz Haji Hanafi kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah diisytiharkan sebagai YM Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di UPM pada 13 Oktober 1986 seramai 27 orang. YM Tuan Haji Ishak b. Itam terus menerajui PSSCM sehingga 3 Jun 2009.

Category: Perguruan

YM Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad

Pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia

 

Pengasas PSSCM, Ustaz Hanafi bin Ahmad Walaupun Ustaz Hanafi dilahirkan dari keluarga petani, namun kepentingan pada pelajaran amat diutamakan oleh bapanya dan beliau telah dihantar ke Sekolah Melayu Gunung bagi mendapatkan pendidikan awal sehingga darjah empat. Kemudian beliau dihantar pula ke sekolah agama iaitu di Pondok Alor Gonchah dan Guar Chempedak.

Ketika berusia 18 tahun, Ustaz Hanafi telah memulakan penghidupannya sebagai perantau sambil menjual ubat-ubatan bersama-sama dengan Pak Ngah Sharif yang bukan sahaja sebagai guru kepadanya tetapi juga bapa angkatnya. Pak Ngah Sharif yang berasal dari Tokai, Kedah telah membimbing beliau mengenali dunia manusia yang bermacam ragam. Ustaz Hanafi semasa hayatnya juga pernah menjadi guru agama dan penyelia zakat.

Ustaz Hanafi yang berjiwa besar, telah membabitkan dirinya dalam memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu. Beliau sebagai seorang aktivis dalam Pertubuhan Seberkas Kedah, pernah berjuang bersama-sama rakan seangkatannya termasuk Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Datuk Senu Abd. Rahman serta Mashor Mohammad (abang kepada Datuk Seri Dr. Mahathir).

Setelah hampir dua dekad beliau berkecimpung di arena politik, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk tidak aktif dalam politik tanah air memandangkan beberapa perubahan telah melanda suasana politik ketika itu. Memadailah beliau menimba pengalaman bersama dengan politik tanah air ketika itu.

Menyingkap semula zaman mudanya, Hanafi banyak menghabiskan masanya bagi menyelidiki dua bidang yang digemarinya iaitu mencari silat Melayu yang benar-benar asli dan boleh dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan diri dan mendalami bidang kerohanian Islam khasnya ilmu tauhid. Keadaan ini telah memberi peluang kepadanya bagi mempelajari pelbagai jenis silat Melayu dan menemui beberapa tokoh agama termasuk Kiai Fathulah Suhaimi dan Tuan Haji Abdullah Fahim.

Setelah mengkaji dan meneliti secara mendalam segala ilmu yang ditimba, Ustaz Hanafi akhirnya membuat keputusan mahu mengembangkan Silat Cekak kepada masyarakat Melayu. Menerusi gerakan silat inilah Ustaz Hanafi berhasrat mendidik anak-anak bangsa agar cintakan kebudayaan warisan dan menyalurkan segala pengalaman serta ilmunya di bidang kemasyarakatan.

Di dalam silat, Ustaz Hanafi telah berjasa dengan melahirkan semula Silat Cekak, jika bukan dengan inisiatifnya, mungkin Silat Cekak akan luput dan tidak dikenali. Dalam usahanya mengembangkan silat Melayu, Ustaz Hanafi sedar bahawa beberapa sikap dan tradisi yang perlu diubahsuai bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa. Perkara pokok yang diberi perhatian ialah mengubah corak hubungan antara guru dan penuntut.

Ustaz Hanafi Yakin kepada hubungan dua hala dan sebab itu rasa hormat dari penuntut bukan hanya sekadar kerana ia guru, tetapi kerana sifat dan tindak tanduknya yang boleh memenangi hati murid. Ustaz Hanafi beranggapan, sikap takut kepada guru dan mengikut apa sahaja kehendak guru di kalangan penuntut akan merugikan sesuatu pergerakkan silat itu.

Cara penyampaian silat kepada masyarakat umum turut diubahsuai. Ustaz Hanafi berjaya mengatur sistem pelajaran dan corak pengajaran Silat Cekak secara saintifik dengan menggunakan kebijaksanaan mental dan kaedah yang bersistematik. Setiap mata pelajaran diajar secara tertib dan teratur dengan menerangkan matlamat dan sebab-sebab sesuatu pelajaran Silat Cekak.

Ustaz Hanafi juga tidak ketinggalan untuk melakukan pengubahsuaian dalam majlis-majlis penerangan. Penekanan yang diberikan kepada sesuatu majlis penerangan ialah memberitahu masyarakat betapa silat masih sesuai untuk diamalkan dan cara bagaimana konsep Silat Cekak dilakukan. Bagi memastikan kelicinan setiap perubahan dilakukan itu, beliau telah mewujudkan satu sistem pentadbiran yang cekap.

Category: Perguruan

Salasilah Guru Silat Cekak 

 

Panglima Ismail Panglima Kanan Negeri Kedah di zaman Kesultanan Ahmad Tajuddin II.
Panglima Tok Rashid Panglima Kanan Negeri Kedah telah menerima Silat Cekak dari wasilah Panglima Ismail.
Yahya Said (Pemegang Amanah) Menerima Silat Cekak dari Panglima Tok Rashid sebagai "Pemegang Amanah" selama 40 tahun dari 1925 hingga 1965.
Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad Pengasas PSSCM dan sebagai Guru Utama merangkap Presiden selama 21 tahun dari 1965 hingga 13 Ogos 1986.
Tuan Haji Ishak bin Itam Guru Utama & Presiden PSSCM selama 23 tahun mulai dari 21 September 1986 hingga 3 Jun 2009.
Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah Guru Utama & Presiden PSSCM mulai dari 3 Jun 2009 hingga sekarang.