YM Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad

Pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia

 

Pengasas PSSCM, Ustaz Hanafi bin Ahmad Walaupun Ustaz Hanafi dilahirkan dari keluarga petani, namun kepentingan pada pelajaran amat diutamakan oleh bapanya dan beliau telah dihantar ke Sekolah Melayu Gunung bagi mendapatkan pendidikan awal sehingga darjah empat. Kemudian beliau dihantar pula ke sekolah agama iaitu di Pondok Alor Gonchah dan Guar Chempedak.

Ketika berusia 18 tahun, Ustaz Hanafi telah memulakan penghidupannya sebagai perantau sambil menjual ubat-ubatan bersama-sama dengan Pak Ngah Sharif yang bukan sahaja sebagai guru kepadanya tetapi juga bapa angkatnya. Pak Ngah Sharif yang berasal dari Tokai, Kedah telah membimbing beliau mengenali dunia manusia yang bermacam ragam. Ustaz Hanafi semasa hayatnya juga pernah menjadi guru agama dan penyelia zakat.

Ustaz Hanafi yang berjiwa besar, telah membabitkan dirinya dalam memperjuangkan semangat kebangsaan Melayu. Beliau sebagai seorang aktivis dalam Pertubuhan Seberkas Kedah, pernah berjuang bersama-sama rakan seangkatannya termasuk Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Datuk Senu Abd. Rahman serta Mashor Mohammad (abang kepada Datuk Seri Dr. Mahathir).

Setelah hampir dua dekad beliau berkecimpung di arena politik, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk tidak aktif dalam politik tanah air memandangkan beberapa perubahan telah melanda suasana politik ketika itu. Memadailah beliau menimba pengalaman bersama dengan politik tanah air ketika itu.

Menyingkap semula zaman mudanya, Hanafi banyak menghabiskan masanya bagi menyelidiki dua bidang yang digemarinya iaitu mencari silat Melayu yang benar-benar asli dan boleh dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan diri dan mendalami bidang kerohanian Islam khasnya ilmu tauhid. Keadaan ini telah memberi peluang kepadanya bagi mempelajari pelbagai jenis silat Melayu dan menemui beberapa tokoh agama termasuk Kiai Fathulah Suhaimi dan Tuan Haji Abdullah Fahim.

Setelah mengkaji dan meneliti secara mendalam segala ilmu yang ditimba, Ustaz Hanafi akhirnya membuat keputusan mahu mengembangkan Silat Cekak kepada masyarakat Melayu. Menerusi gerakan silat inilah Ustaz Hanafi berhasrat mendidik anak-anak bangsa agar cintakan kebudayaan warisan dan menyalurkan segala pengalaman serta ilmunya di bidang kemasyarakatan.

Di dalam silat, Ustaz Hanafi telah berjasa dengan melahirkan semula Silat Cekak, jika bukan dengan inisiatifnya, mungkin Silat Cekak akan luput dan tidak dikenali. Dalam usahanya mengembangkan silat Melayu, Ustaz Hanafi sedar bahawa beberapa sikap dan tradisi yang perlu diubahsuai bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa. Perkara pokok yang diberi perhatian ialah mengubah corak hubungan antara guru dan penuntut.

Ustaz Hanafi Yakin kepada hubungan dua hala dan sebab itu rasa hormat dari penuntut bukan hanya sekadar kerana ia guru, tetapi kerana sifat dan tindak tanduknya yang boleh memenangi hati murid. Ustaz Hanafi beranggapan, sikap takut kepada guru dan mengikut apa sahaja kehendak guru di kalangan penuntut akan merugikan sesuatu pergerakkan silat itu.

Cara penyampaian silat kepada masyarakat umum turut diubahsuai. Ustaz Hanafi berjaya mengatur sistem pelajaran dan corak pengajaran Silat Cekak secara saintifik dengan menggunakan kebijaksanaan mental dan kaedah yang bersistematik. Setiap mata pelajaran diajar secara tertib dan teratur dengan menerangkan matlamat dan sebab-sebab sesuatu pelajaran Silat Cekak.

Ustaz Hanafi juga tidak ketinggalan untuk melakukan pengubahsuaian dalam majlis-majlis penerangan. Penekanan yang diberikan kepada sesuatu majlis penerangan ialah memberitahu masyarakat betapa silat masih sesuai untuk diamalkan dan cara bagaimana konsep Silat Cekak dilakukan. Bagi memastikan kelicinan setiap perubahan dilakukan itu, beliau telah mewujudkan satu sistem pentadbiran yang cekap.