Pantun



Lahirnya Cekak kerana kesedaran
bukan bermusuh sebagai tujuan
untuk mendaulatkan seni kebangsaan
mensesuaikan dengan makna kemerdekaan

Silat Cekak benar-benar asli
tidak bercampur hak luar negeri
hendaklah belajar bersungguh hati
untuk menjaga diri sendiri

Silat Cekak tersangatlah mudah
bagi mereka yang mendapat hidayah
sungguhpun begitu hendaklah tabah
InsyaAllah mendapat faedah

Silat Cekak pada lahirnya
pengertian gerak pada batinnya
hendaklah mahir seluruh anggota
hendaklah jujur pada jiwanya

Taat ke guru membawa berkat
sedikit belajar banyak yang dapat
jika menderhaka menjadi mudarat
semua ilmu tiada yang lekat

Sebenar guru ada hakikat
dikuat pula amalan syariat
ditambah pula ilmu makrifat
berpakaian pula dengan isyarat

Dua ibu bapa tak boleh derhaka
besar jasanya kepada kita
kalau menderhaka bahaya menimpa
di akhirat kita masuk neraka

Wajiblah menjaga diri sendiri
menerima amanah Tuhan Rabbi
supaya menjadi mukmin sejati
demi menegak Islam yang suci.


Pantun Silat Cekak ini telah dicipta oleh YM AlMarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad dengan bertujuan untuk memberi gambaran kepada penuntut-penuntut Silat Cekak bahawa Silat Cekak lebih menekankan kepada pendidikan rohani dan jasmani yang tidak terkeluar dari landasan Islam. Pantun di atas telah diterbitkan oleh PSSCM secara rasmi melalui Majalah Suara Cekak 1 (1975) dan Suara Cekak 2 (1976).