Persilatan

Category: Persilatan


Di bawah Fasal 5.1, Perlembagaan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah memperuntukkan kuasa kepada YM Guru Utama untuk melantik dan mempengerusikan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT) bagi membantu beliau melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab apa jua hal persilatan.

Selain daripada fungsinya untuk mentadbir hal-ehwal persilatan, ia juga berfungsi untuk:

  • Mentadbir dan memantau perkembangan umum Seni Silat Cekak.
  • Melantik Penyelia-Penyelia, Jurulatih-Jurulatih dan Pembantu-Pembantu Jurulatih untuk menjalankan amanah Guru Utama dalam menguruskan Kelas-Kelas Latihan di seluruh negara.
  • Mengawalselia serta menyelaras sistem pembelajaran Seni Silat Cekak Malaysia di seluruh negara.
  • Mentadbir hal-ehwal tatatertib serta kebajikan Tenaga Pengajar dan penuntut Seni Silat Cekak.
  • Mentadbir dan mengawalselia hal-hal berkenaan Sijil Rendah dan Sijil Menengah Seni Silat Cekak Malaysia serta penganugerahan Pingat-Pingat pengiktirafan dan Anugerah Guru Utama.
Category: Persilatan

Keahlian Seni Silat Cekak Malaysia

Keahlian Seni Silat Cekak Malaysia

 

Seni Silat Cekak Malaysia adalah terbuka kepada semua penduduk Malaysia lelaki dan perempuan yang berumur 16 tahun (seelok-eloknya 18 tahun) ke atas yang beragama Islam dan sihat tubuh badan serta berfikiran waras.

Tempoh Pembelajaran Silat Cekak

Sistem pelajaran Seni Silat Cekak Malaysia secara keseluruhannya diajar kepada penuntut secara pakej. Setiap penuntut perlu menyempurnakan pakej tersebut dan barulah dianggap mereka telah mempelajari Seni Silat Cekak Malaysia hingga bertanggungjawab mempertahankan diri. Sistem mata pelajaran Seni Silat cekak Malaysia yang terbahagi kepada beberapa peringkat tersebut mengambil masa selama lebih kurang 7 bulan untuk tamat pembelajaran. Selepas tamat pembelajaran Seni Silat Cekak Malaysia maka penuntut adalah digalakkan untuk meneruskan kemahiran di dalam Silat Cekak dengan menyertai kelas kemahiran yang pada kebiasaannya akan mengambil masa selama lebih kurang 3 bulan dengan 1 kelas latihan seminggu (tertakluk kepada perubahan semasa).

Yuran Keahlian PSSCM

Setiap penuntut Seni Silat Cekak Malaysia adalah dikenakan bayaran yuran-yuran yang berikut di dalam mengikuti pembelajaran Seni Silat Cekak Malaysia.

Jenis Bayaran Jumlah
Yuran Pendaftaran RM10.00
Yuran Tahunan RM25.00
Pengkeras I (Ijazah I) RM20.30
Pengkeras II (Ijazah II) RM20.30
Pengkeras III (Ijazah III) RM20.30
Yuran Kursus RM30.00 (Setiap bulan selama 7 bulan)
Bayaran ini boleh diubahsuai mengikut tempoh latihan yang dipersetujui

Sila berhubung dengan cawangan atau kelas latihan PSSCM terdekat untuk keterangan lanjut atau melalui e-mel kepada Webmaster.

Category: Persilatan

Pantang-larang

 

Berikut adalah pantang-larang yang terdapat didalam Silat Cekak.

  1. Tidak boleh derhaka kepada guru
  2. Tidak boleh derhaka kepada ibu
  3. Tidak boleh derhaka kepada bapa
  4. Tidak boleh bergaduh sesama ahli
  5. Tidak boleh mencaci silat Melayu yang asli
Category: Persilatan

Senjata Rasmi Seni Silat Cekak Malaysia

(video penggunaan parang lading di sini)

Parang lading memang tidak asing lagi di daerah-daerah utara Tanah Melayu, terutama di Kedah. Di sana hari ini lading digunakan sehari-harian. Kesebatian parang lading dengan negeri Kedah memang tidak dapat dinafikan lagi, tetapi di negeri lain jarang kedapatan. Hal inilah menyebabkan kita yakin bahawa silat Cekak ini berasal dari Kedah.

Kita berkeyakinan demikian kerana sebenarnya parang lading adalah senjata rasmi silat Cekak sejak zaman dahulu lagi. Parang lading adalah senjata yang tunggal di dalam silat Cekak. Didalam Cekak, tidak terdapat penggunaan keris, pisau, pedang, kelewang atau apa senjata lain kerana kita yakin parang lading sudah cukup.

Disamping itu parang lading sajalah yang bersesuaian dengan kaedah-kaedah serta cara penangkisan yang diamalkan oleh silat Cekak yang dimana sembilan puluh peratus dari mata pelajarannya menitik beratkan cara-cara mempertahankan diri. Pergerakkan parang lading oleh YM Guru Utama PSSCM, Tuan Haji Ishak Itam.

Seratus Peratus

Senjata parang lading adalah senjata untuk mempertahankan diri seratus peratus. Tiada satu kaedah pun di dalam menggunakannya ada kaedah untuk menyerang. Ini merupakan satu lagi bukti betapa sesuainya silat Cekak ini untuk mempertahankan diri, bukan untuk menceroboh yang bersesuaian dengan pakaian panglima-panglima.

Ada Perbezaan

Satu hal yang mesti dijelaskan ialah bahawa terdapat perbezaan yang nyata di antara lading biasa yang digunakan sehari-hari dengan parang lading senjata rasmi silat Cekak. Cara membuat dan kadar ukuran di antara keduanya adalah perbezaan yang mustahak sekali diterangkan.

Parang lading biasa itu cuma berbentuk rupa parang lading sahaja, dibuat tidak dengan ukuran tertentu, berkemungkinan besar tidak ada lagi pakarnya. Sebenarnya, ukuran sebenar parang lading yang tepat dan sesuai dengan mempertahankan diri hanya terdapat didalam pengetahuan silat Cekak sahaja. Ukuran khas yang dimaksudkan adalah ukuran parang lading yang dibuat mengikut ukuran anggota tuan sipemakainya. Oleh itu, orang lain tidak boleh menggunakan parang lading yang ditempa khas untuk seseorang yang tertentu.

Peringatan

Parang lading ini bukanlah boleh digunakan untuk menyerang. Tetapi hanya buat menunggu serangan dari segala jenis serangan kecuali senjata api.

Memandangkan kepada keistimewaan parang lading sebagai satu pusaka Melayu yang begitu asli dan bererti, maka persatuan kita telah cuba mengenengahkannya kepada umum serta disimpan sebagai satu bahan sejarah.

Datuk Mohd. Zain, Ketua Menteri Melaka, menerima parang lading daripada wakil Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Melaka. - Utusan Malaysia, 8hb Januari, 1994