Kenyataan Akhbar Rasmi PSSCM Berkenaan Kepimpinan Negara

 

Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh & salam sejahtera saya ucapkan kepada semua yang melayari laman sesawang rasmi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

Saya sebagai Presiden & Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad di atas perlantikan sebagai perdana menteri malaysia yang ke-7 pada 10hb Mei yang lalu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh kepimpinan pakatan harapan di atas kemenangan di dalam pru 14 baru-baru ini.

Tidak lupa juga, di kesempatan ini, ucapan terima kasih saya tujukan buat kerajaan malaysia di bawah pimpinan Barisan Nasional sebelum ini kerana telah memberikan pelbagai pengiktirafan kepada institusi persilatan Melayu, yang mana semua, antara yang boleh dinyatakan:-

O 3 Oktober 2010

  • silat diiktiraf sebagai benteng pertahanan ketiga negara

O 18 September 2015

  • silat diisytihar sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara

O 2 April 2016

  • silat diiktiraf oleh kementerian pendidikan malaysia dalam program 1 sekolah 1 silat

Pengiktirafan ini secara tidak langsung telah mengangkat budaya silat ke suatu aras yang sangat membanggakan.

Sebagai sebuah badan ngo yang sentiasa bergiat aktif dalam memperjuangkan budaya bangsa Melayu, saya ingin menyatakan bahawa PSSCM bersedia untuk membantu kerajaan malaysia dalam aspek membangunkan budaya bangsa Melayu.

Sebagaimana yang saya nyatakan tadi, PSSCM sebagai sebuah badan ngo sentiasa akan menyokong dan mendukung aspirasi kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat, dan ingin saya tegaskan bahawa PSSCM bukanlah sebuah badan yang terikat dengan mana-mana parti politik.

Maka, tidak timbul sebarang isu yang mengatakan PSSCM ini membawa ideologi politik di dalam berpersatuan, walau sesiapa sahaja yang memegang tampuk pemerintahan negara, maka kami, seluruh warga PSSCM akan menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Apa yang telah dilaksanakan sebelum ini adalah merupakan sokongan yang kami tunjukkan kepada kerajaan yang memerintah demi memastikan perjalanan persatuan berada pada landasan yang betul.

Kami amat mengharapkan agar kerajaan baru yang dipimpin oleh YAB Tun Dr Mahathir, dapat memberikan manfaat yang sewajarnya buat PSSCM, agama, bangsa dan seterusnya tanahair

Dan saya juga memohon jasa baik kepada kepimpinan negara terkini melalui teraju YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, agar meneruskan usul-usul yang telah diluluskan sebelum ini:-

  • Menyumbang kepada pembinaan kompleks silat negara, yang mampu memperkasakan ekonomi orang-orang silat
  • Meluluskan pemberian geran kepada guru-guru silat yang berdaftar di bawah ros yang aktif menyumbang kepada pembangunan silat di peringkat negeri dan kebangsaan
  • Bersetuju menempatkan guru-guru silat semasa hari kemerdekaan negara & hari pahlawan

Kami mendoakan supaya pemerintahan baru ini bakal menjadikan malaysia sebagai sebuah negara maju dan lebih berdaya saing dan mampu untuk merealisasikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan demi tanah air kita yang tercinta, malaysia selaras dengan manifesto yang terkandung di dalam  “Buku Harapan : Membina Negara Memenuhi Harapan”.

Ingin saya memetik beberapa manifesto yang dirasakan sangat berkait rapat dengan matlamat perjuangan PSSCM iaitu:-

O mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya;

O memperkasa usaha membanteras rasuah sekaligus menjadikan malaysia sebuah negara yang dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuahnya;

O meningkatkan ketelusan dan integriti;

O mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi

Kami yakin, dengan penerapan jati diri mapan yang diterapkan di dalam ilmu Seni Silat Cekak Malaysia ini mampu untuk membantu kerajaan malaysia bagi mencapai manifesto sepertimana yang telah digariskan.

Akhir kata, kami mengharapkan agar kolaborasi di antara kerajaan malaysia dan PSSCM dapat dizahirkan dan kami bersedia untuk menggembleng tenaga demi kerajaan malaysia.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK HAJI MAIDEEN BIN KADIR SHAH

Guru Utama & Presiden

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia

Tarikh : 12 Mei 2018