Cawangan

Category: Cawangan

Majlis Ramah Mesra - Meriah

30 Julai 2011, Rawang -  PSSCM Pusat Latihan Bukit Beruntung telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra pada Sabtu jam 4.30 petang di PSSCM Kelas Latihan Rawang bagi merayai JK Induk,  JK  Pelaksana dan JK Kecil sempena selesainya Demonstrasi Perdana PSSCM 2011 yang diadakan pada 16 Julai bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor, Batang Kali. Syukur Alhamdu lillah, sambutan dari PSSCM Cawangan Negeri dan IPT turut serta bersama 1300 orang peserta demonstrasi serta 3,000 orang  tetamu hadir menyerikan majlis tersebut. Jawatankuasa Penganjur bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab bagi merealisasikan program itu.

Galleri foto di sini


Majlis Ramah Mesra telah dirasmikan oleh Naib Presiden PSSCM, YBhg. En. Roslin bin Ali Omar. Turut hadir isteri beliau, YDP PSSCM Cawangan Selangor, YBrs. En. Zainol bin Saifuddin, Ketua Penerangan PSSCM, YBhg. En. Rosman bin Mat Deli, Penyelia-Penyelia Kelas, Tenaga-Tenaga Pengajar dan ahli-ahli PSSCM.


Seramai 170 orang hadir termasuk AJK PSSCM Cawangan Selangor, PL Bukit Beruntung, PSAS, UNISEL, PL Selayang, PL Cheras, PL Serdang, KL Sungai Besi, KL Rawang, KL Ulu Yam, KL Country Home dan KL IP Jalan Kent termasuk ahli keluarga turut memeriahkan majlis tersebut. Tetamu dijamukan dengan berbagai hidangan termasuk sate, ayam panggang, mee goreng, rendang dan sebagainya. Acara penyampaian Sijil Penghargaan dan cenderahati kepada Jawatankuasa Induk dan Perlaksana disempurnakan oleh Perasmi, Naib Presiden PSSCM, YBhg. En. Roslin bin Ali Omar.
Majlis tersebut berakhir pada jam 6.45 petang.

Category: Cawangan

Solat Terawih dan Taddarus Al-Quran PSSCM Selangor – MELAKAR SEJARAH

04 Ogos 2011, Bukit Beruntung - Bertempat di Ibu Pejabat PSSCM Cawangan Selangor,  Bukit Beruntung Khamis jam 9.00malam, atas saranan YM Guru Utama & Presiden PSSCM, Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah, semua PSSCM Cawangan dikehendaki menganjurkan aktiviti tersebut pada bulan Ramadhan menggantikan program Tahlil, Bacaan Yasin, Marhaban, Qasidah & Burdah yang diadakan setiap hari Khamis malam Jumaat. PSSCM Cawangan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif bagi menganjurkan program tersebut.


Galleri foto di sini


PSSCM Pusat Latihan Bukit Beruntung setelah 8 tahun ditubuhkan dan pada 4 Ogos 2011 merupakan tarikh yang bersejarah apabila solat Isyak dan Solat Sunat Terawih serta Taddarus Al-Quran diadakan buat kali pertamanya secara berjemaah. Program tersebut telah disertai lebih dari 50 orang ahli termasuk 3 orang wanita.


Program tersebut dimulakan dengan Solat Isyak dan seterusnya Solat Sunat Terawih Ustaz Azizul Nizam bin Abdul Mutalib sebagai imam manakala  Sdr Azizul Naim sebagai bilal.


Selepas selesai Solat Sunat Terawih, Taddarus Al-Quran diadakan sehingga selesai jam 11.30 malam. Selain daripada dapat memberi pendedahan dan pengetahuan khusus mengenai keagamaan, aklitivti seperti ini telah dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan ahli-ahli PSSCM khasnya ahli-ahli Pusat Latihan Bukit Beruntung. Turut hadir Ahli Jawatankuasa PSSCM Cawangan Selangor, Ketua Pusat Latihan Bukit Beruntung Sdr Suhaimi bin Mohd Yunan dan Penyelia Kelas, Sdr Rosman bin Mat Deli.


Program tersebut akan diteruskan pada 11, 18 dan 25hb Ogos 2011 setiap hari Khamis malam Jumaat.

Galleri Foto di sini ...

Category: Cawangan

Program PDRM Bersama Masyarakat

6 April 2011, Johor Bahru – IPDP Johor Bahru Utara telah menjemput PSSCMCJDT untuk bersama-sama menjayakan Program PDRM Bersama Masyarakat. Program Ramah Mesra itu telah dihadiri oleh pegawai dan anggota dari IPDP Johor Bahru Utara seramai 17 orang yang diketuai oleh Yang Berbahagia Tuan DSP Abdul Manan bin Abdul Jamil dan juga semua AJK PSSCMCJDT dan ahli tamat yang lainnya.

Program yang berlangsung di Rumah Persatuan PSSCMCJDT pada sekitar jam 9.15 malam itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari YDP PSSCMCJDT saudara Sazali bin Samsudin dan seterusnyanya ucapan dan penerangan daripada wakil tetamu iaitu Yang Berbahagia Tuan DSP Abdul Manan bin Abdul Jamil dan pasukannya. Alhamdulillah, semua pertanyaan kemusykilan dapat diterangkan dan diperjelaskan lagi termasuklah penerangan peranan pihak PDRM dalam masyarakat dan tanggungjawab masyarakat bersama-sama membantu pihak PDRM menjaga ketenteraman awam.

Antara pengisian didalam program itu termasuklah penerangan isu-isu semasa dan sesi soal jawab di antara ahli-ahli PSSCMCJDT dan pihak PDRM. PSSCMCJDT sebagai tuan rumah juga turut mempersembahkan satu sesi demonstrasi penerangan ringkas Seni Silat Cekak Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pegawai Penerangan PSSCMCJDT iaitu Cik Puan Lailati binti Mohd Noh dan pasukan Demonstrasi PSSCMCJDT sebagai santapan halwa mata bagi tetamu yang hadir. Program tersebut diakhiri dengan jamuan makan sebelum bersurai kira-kira jam 11.45 malam.

Ahli-ahli PSSCMCJDT berasa bersyukur dan bertuah kerana dijemput untuk berserta dalam program ini kerana selaras dengan visi PSSCM untuk memimpin dan membentuk ahli-ahli PSSCM khususnya dan orang Melayu amnya supaya beriman dan bersatu untuk mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara. PSSCM amat bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan padu daripada kerajaan Malaysia dalam sebarang usaha untuk membasmi budaya kurang sihat melalui program Rakan Muda dan Rakan Wajadiri. Komitmen yang akan terus diberikan oleh PSSCM adalah untuk terus bergiat cergas dalam semua usaha untuk menyeimbangkan pembangunan negara dan pembangunan sosial selaras dengan Dasar Sosial Negara.

Kesimpulannya, usaha-usaha ke arah membudayakan konsep jatidiri, patriotisme dan nasionalisme di kalangan para belia muslim adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin dan pejuang bangsa. Sebagai NGO yang pro-aktif, PSSCM akan berusaha menyemarakkan aktiviti persilatan Silat Cekak sebagai platform membudayakan aspirasi ini di kalangan ahlinya.

Kesungguhan dan dedikasi PDRM dalam menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan keharmonian negara adalah sangat dihargai.

Tetak cengal buat kemudi,
Buah pauh Permatang Panjang;
Dengar PDRM baik budi,
Dari jauh PSSCM tatang.

Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli;
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.

Kain berlipat dalam istana,
Pakaian puteri raja kayangan;
Sepatah nasihat ilmu yang berguna,
Secubit budi jadi kenangan

Category: Cawangan

PSSCM Cawangan Melaka merealisasikan Konsep Bersama dan Bersatu

5 Mac 2011, Ayer Keroh - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Melaka (PSSCMCM) menyahut seruan YM Guru Utama PSSCM dengan merealisasikan konsep 'Bersama & Bersatu' dengan jayanya program Sireh Pulang Ke Gagang (SPKG) dim ana hampir 200 ahli berjaya dikumpulkan pada majlis tersebut.

PSSCMCM telah bertapak di Melaka pada tahun 1982 dan terhenti seketika kerana ketiadaan tenaga pengajar untuk meneruskan kelas latihan. Pada tanggal 5 Ogos 1998, kelas latihan Seni Silat Cekak telah dihidupkan semula. Program ini bertujuan untuk mengumpulkan semula ahli-ahli Seni Silat Cekak yang telah tamat bermula dari tahun 1982 sehingga hari ini.

Majlis bermula dengan ketibaan tetamu jemputan yang terdiri daripada YM Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Guru Utama dan Presiden  PSSCM diiringi En Roslin Bin Ali Omar, Setiausaha Agong PSSCM, En Abdul Rahaman Bin Ishak, Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT) merangkap Penasihat PSSCMCM dan Encik Sham Bin Hj Mohd Ghani, Yang DiPertua PSSCMCM. Turut hadir ialah Tuan Haji Baharudin Bin Mohd Abd Rahim, Yang DiPertua PSSCM Negeri Sembilan serta En Mohamad Bin Din atau lebih dikenali sebagai 'Pak Long Mat' dari Seberang Perai.  Laungan bacaan zanji oleh kumpulan berzanji PSSCMCM dimulakan bagi memberkati perjalanan program  SPKG.

Pengerusi Program SPKG, Encik Muhammad Faiz Bin Abdul Kadir, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir dan memberi sokongan sepanjang program SPKG. Semua hadirin duduk bersila sepanjang majlis  jamuan makan malam tersebut serta diserikan lagi dengan persembahan khas oleh ahli-ahli lama PSSCM CM, Yang DiPertua PSSCMCM dan demonstrasi khas oleh YM Guru Utrama PSSCM. Senarai-senarai hadirin yang terlibat diabadikan dalam sebuah buku 'Sireh Pulang Ke Gagang' yang di serahkan kepada YM Guru Utama. Tayangan Multimedia SPKG sedikit sebanyak mengimbau kenangan sekalian hardirin yang hadir ketika belajar aktif di Melaka serta ranjau-ranjau yang dilalui di awal penubuhan PSSCM sehingga ke hari ini. Majlis diakhiri dengan sessi fotografi bersama YM Guru Utama agar diabadikan sebagai kenangan untuk semua hadirin yang hadir.

Category: Cawangan

Intelek kuasai seni silat

Sinar Harian Edisi Terengganu, 26/9/2010

KUALA TERENGGANU - Kebanyakan seni silat cekak cawangan Terengganu yang berpengkalan di Jalan Sultan Omar, di sini, dikuasai golongan intelek.

Hampir seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini mempunyai ahli dan pusat latihan seni silat cekak sendiri.

Antara IPTA yang mempunyai pusat latihan seni silat cekak ialah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun; Institusi Pendidikan Guru kampus Dato’ Razali Ismail, Batu Rakit dan Politeknik Sultan Mizan Dungun.

Yang Dipertua Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Terengganu, Zabario Mohd Yasim berkata, beliau memberi fokus kepada penuntut IPTA agar ilmu diperoleh ketika bersama persatuan dapat diperkembangkan ke serata negara apabila mereka tamat pengajian nanti.

“Melalui seni silat ini, kami dapat membina jati diri kukuh dan bentuk insan berguna, cergas dan aktif.

"Kami menggalakkan golongan intelek turut serta menyertai seni silat ini agar ilmu diperoleh dapat dikembangkan di tempat kerja setelah tamat pengajian nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis sambutan hari raya Aidilfitri Persatuan Seni Silat Cekak bersama anak yatim di cawangan Seni Silat Cekak, di sini.

Menurutnya, meskipun golongan itu dialu-alukan, pihaknya tidak membelakangkan ahli lain kerana mereka terlibat akan menjalani latihan seimbang.

“Bagi kami, ahli berdaftar di bawah persatuan layak dilatih, sama ada mereka terdiri daripada golongan intelek atau tidak. Namun setakat ini, intelek paling ramai.

“Penglibatan golongan intelek dalam persatuan menggembirakan kami dan berharap ia terus mendapat sambutan golongan itu agar seni silat cekak mampu berkembang meluas,” katanya.

Menurutnya, kesemua ahli berdaftar di bawah persatuan kini adalah 1,300 orang termasuk 300 yang aktif.

“Kami akan terus membuat pengambilan ahli baru dari masa ke masa agar jumlah kemasukan dapat diseimbangkan,” katanya.

Berita penuh di http://www.sinarharian.com.my/terengganu/content/story8216285.asp