Program PDRM Bersama Masyarakat

6 April 2011, Johor Bahru – IPDP Johor Bahru Utara telah menjemput PSSCMCJDT untuk bersama-sama menjayakan Program PDRM Bersama Masyarakat. Program Ramah Mesra itu telah dihadiri oleh pegawai dan anggota dari IPDP Johor Bahru Utara seramai 17 orang yang diketuai oleh Yang Berbahagia Tuan DSP Abdul Manan bin Abdul Jamil dan juga semua AJK PSSCMCJDT dan ahli tamat yang lainnya.

Program yang berlangsung di Rumah Persatuan PSSCMCJDT pada sekitar jam 9.15 malam itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari YDP PSSCMCJDT saudara Sazali bin Samsudin dan seterusnyanya ucapan dan penerangan daripada wakil tetamu iaitu Yang Berbahagia Tuan DSP Abdul Manan bin Abdul Jamil dan pasukannya. Alhamdulillah, semua pertanyaan kemusykilan dapat diterangkan dan diperjelaskan lagi termasuklah penerangan peranan pihak PDRM dalam masyarakat dan tanggungjawab masyarakat bersama-sama membantu pihak PDRM menjaga ketenteraman awam.

Antara pengisian didalam program itu termasuklah penerangan isu-isu semasa dan sesi soal jawab di antara ahli-ahli PSSCMCJDT dan pihak PDRM. PSSCMCJDT sebagai tuan rumah juga turut mempersembahkan satu sesi demonstrasi penerangan ringkas Seni Silat Cekak Malaysia yang diketuai oleh Ketua Pegawai Penerangan PSSCMCJDT iaitu Cik Puan Lailati binti Mohd Noh dan pasukan Demonstrasi PSSCMCJDT sebagai santapan halwa mata bagi tetamu yang hadir. Program tersebut diakhiri dengan jamuan makan sebelum bersurai kira-kira jam 11.45 malam.

Ahli-ahli PSSCMCJDT berasa bersyukur dan bertuah kerana dijemput untuk berserta dalam program ini kerana selaras dengan visi PSSCM untuk memimpin dan membentuk ahli-ahli PSSCM khususnya dan orang Melayu amnya supaya beriman dan bersatu untuk mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara. PSSCM amat bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan padu daripada kerajaan Malaysia dalam sebarang usaha untuk membasmi budaya kurang sihat melalui program Rakan Muda dan Rakan Wajadiri. Komitmen yang akan terus diberikan oleh PSSCM adalah untuk terus bergiat cergas dalam semua usaha untuk menyeimbangkan pembangunan negara dan pembangunan sosial selaras dengan Dasar Sosial Negara.

Kesimpulannya, usaha-usaha ke arah membudayakan konsep jatidiri, patriotisme dan nasionalisme di kalangan para belia muslim adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin dan pejuang bangsa. Sebagai NGO yang pro-aktif, PSSCM akan berusaha menyemarakkan aktiviti persilatan Silat Cekak sebagai platform membudayakan aspirasi ini di kalangan ahlinya.

Kesungguhan dan dedikasi PDRM dalam menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan keharmonian negara adalah sangat dihargai.

Tetak cengal buat kemudi,
Buah pauh Permatang Panjang;
Dengar PDRM baik budi,
Dari jauh PSSCM tatang.

Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli;
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.

Kain berlipat dalam istana,
Pakaian puteri raja kayangan;
Sepatah nasihat ilmu yang berguna,
Secubit budi jadi kenangan