Adalah dengan hormatnya merujuk kepada Notis Kenyataan MAP LB PSSCM yang diiklankan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2hb Oktober 2009 dan 23 hb Oktober 2009, dimaklumkan bahawa di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, lokasi Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (MAP LB PSSCM) telah ditukarkan ke tempat seperti berikut :

 

Grand Ballroom
De Palma Hotel Ampang,
Jalan Selaman 1/2 ,
Dataran Palma (Ampang Point),
Jalan Ampang,
68000 Ampang, Selangor

 

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Setiausaha Agung PSSCM di talian 019-3399121, atau pegawai persatuan 013-3605254.

 

Sekian harap maklum.

Yang menjalankan tugas,
B/p PERSATUAN SENI SILAT
CEKAK MALAYSIA


ROSLIN ALI OMAR
Setiausaha Agung


Notis Asal (Utusan 2/10/09)



Pertukaran Tempat 1 (Utusan 23/10/09)


Pertukaran Tempat 2 (Utusan 30/10/09)

Al-Fatihah

Sdri. Eliza Binti Parman atau lebih dikenali sebagai Mummy, Sekreteriat Tenaga Pengajar PSSCM telah kembali ke rahmatullah pada 7 September 2009 bersamaan 17 Ramadhan 1430H jam 8.27 pagi pada usia 35 tahun. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jasin, Melaka setelah beberapa hari dirawat di sana kerana mengidap kanser hati. Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Kesang Jaya, Jasin, Melaka.

PSSCM merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Eliza. Sama-samalah kita hadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang solihah. AL-FATIHAH.


Allahyarhamah Eliza (tengah)

Kuala Lumpur, 15 Ogos 2009 - Bertempat di Dataran Merdeka seramai 3280 orang pengamal seni bela diri bersama-sama meraikan Perhimpunan Seni Bela Diri Malaysia 1 Malaysia . Program ini merupakan pengisian utama Majlis Pelancaran Dataran Budaya @ Laman Budaya Rakyat bertemakan “Semarakkan Seni Budaya: Seni Bela Diri 1 Malaysia” . Sdra Roslim bin Abdullah mewakili PSSCM bersama Guru-guru serta wakil-wakil perguruan yang lain mendengar ucapan bersemangat yang diberikan oleh perasmi YB Menteri Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan (KPKK), YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Persembahan Seni beladiri tersebut yang dimulakan dengan bacaan ikrar oleh wakil-wakil seni beladiri dan PSSCM diwakili oleh Sdr Taqiuddin bin Yusof. Perhimpunan tersebut dibahagikan kepada 5 segmen ialtu Selamat Datang, Takkan Melayu Hilang di Dunia, Bila Putih Membara, Saling Bertingkah Sahut Menyahut , Gerak 1 Malaysia dan program ditutup dengan nyanyian lagu Kuala Lumpur dan 1 Malaysia oleh semua pengamal Seni Beladiri. Persembahan dari PSSCM di sertai oleh seramai 50 orang ahli PSSCM di kelas latihan dan IPT di sekitar Lembah Klang.

Diharap melalui perhimpunan ini dapat menyemarakkan Seni Bela Diri unruk memupuk semangat perpaduan kea rah masyarakat 1 Malaysia dan seterusnya menarik minat golongan remaja mempelajari Seni Bela Diri khasnya Seni Silat Cekak Malaysia.

Oleh : S.Shahrulnizam Sheikh Ismail.

Hello Malaysia Bernama TV (Astro 502)

6 Julai 2009
- PSSCM dijemput secara eksklusif dan berbicara secara LIVE menerusi segmen Hello Malaysia di Bernama TV Astro 502 dan Radio 24 bermula jam 10.00 malam.

Rancangan yang dikendalikan oleh Serkawi Jirim itu menjemput tiga orang ahli panel dari PSSCM iaitu Y.Bhg. Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, Naib Presiden PSSCM, En. Roslin Ali Omar, Setiausaha Agong PSSCM dan Sdr. Rosman Bin Mat Deli, Ketua Penerangan PSSCM yang juga Exco Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Rancangan selama sejam itu dengan tajuk Seni Budaya Ke Arah Satu Malaysia turut membincangkan bagaimana silat sebagai satu seni mempertahankan diri, sebagai budaya bangsa kita mungkin dapat diasimilasikan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah satu konsep yang sudahpun diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu konsep 1Malaysia.

Menurut Datuk Maideen, "langkah-langkah untuk mewujudkan satu Malaysia - bangsa boleh bersatu tetapi budaya tidak boleh disatukan kerana budaya adalah agama, agama tidak boleh disatukan. Di dalam Seni Silat Cekak Malaysia misalnya, kita menyatukan orang-orang Melayu supaya orang Melayu itu apabila ianya berpegang teguh dengan agama Islam, maka dia akan sesuai dengan mana-mana bangsa di dunia ini".

Dalam rancangan yang disiarkan secara langsung itu juga, ahli panel turut menjawab panggilan penonton. Secara keseluruhannya rancangan ini telah berjaya menjelaskan peranan yang dimainkan oleh PSSCM sendiri ke arah menyokong konsep 1Malaysia.

Alor Setar - Kejohanan Sukan Mempertahankan Diri 2009 kali ke 11 (SMD) anjuran Kementerian Belia & Sukan (KBS) telah berlangsung dari 25-28 Jun 2009. Pada tahun ini negeri Kedah  Darul Aman telah dipilih menjadi tuan rumah oleh pihak KBS. Sebanyak 10 Disiplin Persatuan / Pertubuhan sukan mempertahankan diri telah turut serta termasuk Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. 

PSSCM Cawangan Kedah telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan SMD 2009 yang di adakan di Darul Aman Suite.YDP En. Rosli bin Mansur telah dilantik sebagai Pengarah Program dan telah mendapat sambutan yang baik. Seramai 30 orang juri dari semua cawangan turut melibatkan diri. Seramai 120 orang pesilat dari 12 cawangan  negeri telah menghantar kontinjen bagi menyertai SMD 2009.    

Menurut komen Ketua Penerangan PSSCM selaku Pengerusi Pertandingan, En. Rosman bin Mat Deli, SMD 2009 menampakkan pengurangan kesalahan format demo yang dilakukan oleh peserta-peserta kejohanan. Ini menunjukkan keberkesanan Kursus Penerangan, Pengulasan & Demonstrasi PLBC kali ke-5 yang diadakan di setiap zon. Bersesuaian dengan kehendak YM Guru  Utama, Tn. Hj Ishak bin Itam, agar demo yang dilakukan baik dalam pertandingan mahupun persembahan hendaklah mengikut format dan standard yang telah digariskan dan tidak di tokok tambah. 

Sebanyak 5 kategori yang dipertandingkan pada SMD 2009. Kategori 1 – 3 telah berlangsung pada 26 Jun 2009 (Jumaat) bermula pada jam 4 – 7 petang. Manakala kategori ke 4 – 5 telah dijalankan pada 27 Jun 2009 ( Sabtu) pada jam 9 – 12.30 tghari. 

Berikut merupakan jumlah pengumpulan pingat 5 Kategori yang dipertandingkan. 

Jumlah keseluruhan      :           Melaka
Naib Johan                   :           Kuala Lumpur
Ketiga                          :           Kelantan

Keputusan keseluruhan adalah seperti berikut :

BIL KATEGORI PINGAT
    EMAS PERAK GANGSA
1 KATEGORI 1 MELAKA PAHANG KEDAH
2 KATEGORI 2 PERAK MELAKA PAHANG
3 KATEGORI 3 SELANGOR KUALA LUMPUR NEGERI SEMBILAN
4 KATEGORI 4 KUALA LUMPUR NEGERI SEMBILAN KELANTAN
5 KATEGORI 5 KELANTAN JOHOR NEGERI SEMBILAN