|
|
|
RINGKASAN PROGRAM-PROGRAM UTAMA
Forum Perdana Cekak Dan Pelancaran Profil 10 Tahun PSSCMUMT Majlis Forum Perdana Cekak bertujuan untuk ahli- ahli dapat mengetahui susur galur penubuhan serta perkembangan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Semoga ahli- ahli PSSCM dapat memahami onak ranjau yang terpaksa dihadapi oleh orang- orang terdahulu dalam mempertahankan dan memperjuangkan warisan melayu ini dan sekaligus menimbulkan persaan cinta mereka terhadap seni warisan ini. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk menaikkan semangat para ahli yang masih lagi di dalam proses pembelajaran supaya dapat mengikut jejak ahli- ahli yang telah tamat dan menerima sijil.
Dengan terlaksananya program ini, para ahli juga dapat bersama- sama menyumbangkan idea untuk memajukan lagi seni silat ini di UMT dan di Malaysia agar tidak luput ditelan arus masa. Diharapkan juga program ini dijadikan platform dalam kalangan ahli untuk saling berkenalan bukan sahaja sesama ahli di Terengganu malahan ahli- ahli dari negeri- negeri lain juga. Manakala Sambutan Perayaan 10 Tahun PSSCMUMT ini bertujuan untuk meraikan ulang tahun ke- 10 penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Universiti Malaysia Terengganu. Walaupun nama Universiti Malaysia Terengganu baru menginjak ke angka 2 tahun, namun PSSCMUMT telah bertapak sejak tahun 1999 lagi iaitu semasa zaman Universiti Pertanian Malaysia cawangan Terengganu (UPMT). Pelbagai susah payah dan segala kenangan yang tersimpan bersama 10 tahun PSSCM UMT sejak mula ditubuhkan pada tahun 1999 dapat diingati dan direnungi oleh semua ahli PSSCM, tidak kira sama ada warga UMT atau dari tempat-tempat lain yang turut memperjuangkan seni Silat Cekak sebagai budaya bangsa agar tidak luput ditelan zaman. Majlis ini bakal dirasmikan oleh YBhg Prof. Dr. Abdul Majid Bin Mohd Isa, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu.
Konvokesyen Silat Cekak Majlis yang diadakan ini adalah bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada ahli-ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia yang telah lulus dalam Ujian Sijil Rendah Seni Silat Cekak Malaysia. Majlis ini diilhamkan daripada konvokesyen-konvokesyen yang diadakan di universiti-universiti. Ini adalah amat bersesuaian dengan hasrat dan matlamat PSSCM untuk mengakademikkan Seni Silat Cekak Malaysia supaya selari dengan arus pemodenan sekarang.
Berbeza dengan persatuan seni beladiri yang lain, PSSCM menganugerahkan ahli-ahlinya dengan skrol sijil, bukannya selempang atau bengkung. Faktor inilah yang membuatkan Seni Silat Cekak Malaysia amat sesuai untuk diamalkan pada masa kini kerana ia selari dengan keadaan negara kita yang semakin maju.
Majlis ini akan dimulakan dengan istiadat perarakan masuk yang diwarnai dengan istiadat yang penuh dengan unsur kebudayaan. Majlis ini bakal dirasmikan oleh YBhg Prof Dato’ Dr. Sulaiman bin Md. Yassin, Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu. Penganugerahan sijil juga adalah sama seperti yang diberikan ketika penganugerahan sijil graduan di universiti. Program ini juga bakal diwarnai oleh persembahan-persembahan demonstrasi Seni Silat Cekak Malaysia.
Makan Malam Perdana Majlis Makan Malam Perdana ini juga merupakan antara program yang rutin pada setiap tahun. Pada malam inilah semua ahli-ahli PSSCM dapat berkumpul dan menikmati makan malam bersama barisan kepimpinan PSSCM dan tetamu jemputan.
Pelbagai acara telah disusun bagi memenuhi malam tersebut. Antaranya, demonstrasi Seni Silat Cekak Malaysia, cabutan bertuah, tayangan multimedia dan berkemungkinan akan turut diselitkan dengan nyanyian lagu nasyid. Pihak PSSCM berhasrat untuk menjemput YAB Dato’ Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu untuk merasmikan Majlis Makan Malam Perdana PSSCM 2009.
Mesyuarat Agung Perwakilan PSSCM kali ke-37
Mesyuarat Agung Perwakilan PSSCM (MAP PSSCM) ini diadakan pada setiap tahun. Mesyuarat yang diadakan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada semua wakil-wakil cawangan negeri untuk mengemukakan permasalahan masing-masing serta mengesyorkan penyelesaian kepada permasalahan-permasalahan yang dihadapi.
Program ini juga bertujuan untuk merapatkan lagi silaturrahim di antara ahli-ahli PSSCM cawangan-cawangan negeri. Selain itu, ia juga turut boleh memberikan pendedahan kepada mahasiswa-mahasiswi PSSCM tentang bagaimana selok-belok proses Mesyuarat Agung dilaksanakan. Ini adalah kerana bersesuaian dengan Akta Universiti iaitu setiap persatuan (termasuklah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia) yang berdaftar di bawah universiti-univerisiti perlu mengadakan Mesyuarat Agung bagi membolehkan pentadbiran baru meneruskan agenda persatuan. Program ini bakal dirasmikan oleh YB Ahmad Razif bin Abd. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Dan Sumber Manusia Negeri. |



