LOGO & TEMA
SAMBUTAN 41 TAHUN CEKAK 2007

 

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah bergiat selama 41 tahun di dalam memperkenalkan budaya bangsa Melayu melalui Seni Silat untuk mendaulatkan seni kebangsaan yang bersesuaian dengan Islam dan selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. PSSCM mempunyai keahlian melebihi 80,000 orang yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat daripada golongan petani, sehinggalah kepada golongan profesional. Kekuatan Tenaga Pengajar Seni Silat Cekak Malaysia yang melebihi 700 orang, sebahagiannya merupakan graduan lepasan pusat pengajian tinggi dengan sukarela mengajar Silat Cekak Malaysia di kelas-kelas latihan di seluruh semananjung Malaysia.  Penerimaan masyarakat khususnya dari golongan intelektual membuktikan ketinggian nilai estetika dan mutu budaya Seni Silat Melayu khususnya Seni Silat Cekak di dalam menjadi alat pendidikan yang effektif untuk melahirkan masyarakat yang ada kekuatan jati diri yang dapat membentuk insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. 

Menyedari pentingnya peranan budaya di dalam membentuk peribadi masyarakat, maka PSSCM menganjurkan program Sambutan 41 Tahun Silat Cekak dengan tema “Membina Bangsa Berbudaya” bagi memperkenalkan budaya Seni Silat seluas-luasnya kepada masyarakat Malaysia khususnya sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2007.  Semoga dengan sokongan daripada semua agensi khususnya dari pihak kerajaan maka hasrat untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai budaya maju dan progresif akan tercapai.

“MEMBINA BANGSA BERBUDAYA

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan budaya orang Melayu sentiasa dipelihara. Masyarakat khususnya bangsa Melayu perlu sentiasa di beri kesedaran, dibimbing dan dididik akan kepentingan mengamalkan dan mempertahankan budaya yang selaras dengan kehendak agama Islam, seperti yang digariskan di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Budaya yang boleh membentuk jati diri, sikap berani, insan yang berdaya tahan dan bernilai murni akan dapat melahirkan bangsa yang sanggup mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara dalam merentasi pelbagai cabaran arus globalisasi.

 
 

Kemaskini: 4 Jun 2007
©Hak Cipta Terpelihara PSSCM 2000-2007
Penafian